PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Khamis, 20 Oktober 2011

Aziz Bari: Himpunan bantah dijangka lebihi sasaran | Print |
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Okt: Melihat kepada sokongan pelbagai pihak, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) tidak menolak kemungkinan himpunan membantah penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini melebihi sasaran.

Menurut Pengerusi NGO, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abd Razab, sehingga kini sudah tujuh buah pertubuhan mahasiswa menyatakan kesediaan mengerahkan ahli mereka menyertai himpunan di Masjid UIA, Gombak yang dijadual selepas solat Jumaat ini.

Selain mereka, difahamkan Angkatan Muda Keadilan juga turut memobilisasi anggota mereka untuk menyertai himpunan membantah tindakan UIA itu.

"Kita sasar 1,500 orang, tetapi melihat mood rakyat secara keseluruhan khususnya melalui laman Facebook, saya jangkakan ianya akan lebih," katanya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun menurutnya, satu sidang media khas berhubung himpunan itu akan dibuat di Pejabat Sekretariat PKPIM Pusat, Jalan Gombak jam 12 hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu turut mendapat maklumat bahawa satu kumpulan yang menyokong tindakan UIA akan berhimpun ditempat sama hari ini.

Bagaimanapun, pihak mereka mengharapkan tiada sebarang pertembungan berlaku bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kita dapat maklumat, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) turut akan berhimpun menyokong tindakan UIA," katanya.

Tindakan terhadap Aziz dipercayai ekoran reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Sementara itu, SMM antara yang mengecam keras tindakan UIA menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mereka menyifatkan tindakan itu sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan