PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 4 Oktober 2011

Mengapa Tun M perlekeh Belanjawan Pakatan Rakyat?
Nik Nasri Nik Malek

Saya memetik berita reaksi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Muhammad terhadap pembentangan belanjawan 2012 Pakatan Rakyat tiga hari sebelum pembentangan bajet 2012 oleh PM Najib Razak Jumaat ini. Dr M dipetik sebagai berkata: “(Duit) yang kita tak kawal (memang) senang mahu belanja,” “Kita boleh buat apa pun (seperti) janji mahu bagi 20 peratus royalti minyak. Memang boleh janji sebab tak jadi kerajaan. Janjilah asalkan menang (pilihan raya),” katanya. “Ini biasa malah Obama (Presiden AS Barack Obama) berjanji untuk menutup Guantanamo Bay (Pusat Tahanan) tetapi sampai sekarang tak tutup lagi. Tetapi beliau dipilihlah” katanya.

Saya ingin bertanya: ‘Adakah Tun telah meneliti belanjawan tersebut?’

Apakah hanya kerana belanjawan itu dibentang dan dicadangkan oleh Pakatan Rakyat, lalu ia diperlekeh dan dipandang rendah? Mengapa ia tidak diperhalusi terlebih dahulu? Adakah kerana ia dibentang oleh musuh politik yang juga mantan Timbalannya dahulu lalu ia ditolak mentah-mentah?

Tidakkah pembentangan ini menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat juga mampu menyediakan belanjawan sebagaimana BN juga? Justeru, kalau ada pandangan yang mengatakan bahawa hanya BN sahaja yang mampu membawa kesejahteraan dan kemakmuran, tidakkah itu ayat yang mengandungi unsur syirik namanya?

Kalau benar pembentangan belanjawan oleh Pakatan Rakyat ini membawa manfaat buat rakyat, selain menjadi alternatif dan saingan sihat kepada bajet oleh BN nanti, mengapa Tun tidak melihatnya dari sudut positif yang memberi kebaikan kepada rakyat? Atau dendam kesumat dan benci kepada Pakatan Rakyat ini tidak dapat dibendung langsung, lantas menafikan kebaikan yang ada dalam belanjawan Pakatan Rakyat ini?

Secara serius, saya harap ada pakar-pakar ekonomi di Malaysia yang memberikan komen membina terhadap belanjawan Pakatan Rakyat dengan melihat secara jujur belanjawan ini, berdasarkan nilai taqwa dalam diri, dan mengutamakan maslahah dan kepentingan rakyat teramai dari hanya menjadikan kekayaan negara ini beredar di kalangan mereka yang berkepentingan sahaja, dan mereka yang berkepentingan itu ada di antaranya sudah bersara dan sedang berihat menikmati kekayaan negara yang sudah dibolot itu.

Penulis adalah Ketua Lajnah Penerbitan & Penyelidikan, Dewan Ulama PAS Terengganu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan