Belanjawan Pakatan ke arah timbang tara berkesan | | Print | |
Muhammad Faizal |
KUALA LUMPUR, 5 Okt: Belanjawan alternatif yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat merupakan langkah cemerlang ke arah sistem timbang tara yang matang dan berkesan. Sehubungan itu, ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengucapkan tahniah di atas pembentangan belanjawan itu oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam. Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkata, persoalan gaji minimum di dalam Belanjawan 2012 Pakatan Rakyat sebanyak RM1,100 bukannya RM1,500 akan dijelaskan malam ini. Penjelasan itu akan dibuat pada Forum Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012, di Quality Hotel, Shah Alam bermula jam 8.00 malam. Selain beliau, turut menjadi ahli panel ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Rafizi Ramli. Belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentangkan Anwar Ibrahim semalam juga meletakkan persoalan gaji yang diterima oleh rakyat. Persoalan gaji yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada dibangkitkan agar ia lebih bermaruah dan bertepatan dengan keperuan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa. Anwar menjelaskan rakyat bukannya menuntut keistimewaan mahupun kemewahan tetapi ia adalah merupakan satu konsep hak asasi menusia yang diterima pakai di seluruh dunia. "Setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan. "Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. "Memenuhi kehendak rakyat gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan, PR akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada dan gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan," jelasnya. Anwar memberitahu pengenalan gaji minima ini dapat dimanafaatkan oleh tiga ratus ribu orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100 sebulan. Dalam pada itu tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing. "Selain gaji minima, PR juga akan melaksanakan pembayaran elaun pendidikan sebanyak lima ratus ringgit sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga. "Sebanyak RM5.9 bilion diperuntukan bagi melaksanakan penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan gaji minima dan juga janji Buku Jingga," katanya lagi. Jelas Anwar lagi, PR akan menghentikan serta-merta kecenderungan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh serta kedudukan awam dalam proses kerajaan. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion diberikan untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal. "Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri. "PR juga akan melaksanakan skim 'Bina dan Jual' secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai," jelas beliau lagi. Tambahnya, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintahan yang sedia ada bajet PR juga akan menganugerahkan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon. "PR akan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi," tambahnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan