M'sia negara Kristian? Utusan bakar 1Malaysia



"Utusan mahu membakar 1Malaysia... ini amat jahat dan elemen bahaya ini sedang berlaku di negara kita sekarang,” kata Lim pada sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini.
"Saya telah minta pemimpin parti saya membuat laporan polis mengenai perkara itu. Bagaimana finah dan penipuan boleh dijadikan tajuk utama sebuah akhbar?”
Lim, yang juga adalah setiausaha agung DAP mengulas laporan di dua blog dan dipetik oleh Utusan yang mendakwa pemimpin parti itu bekerjasama dengan paderi-paderi seluruh negara yang berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan.

Nama ahli parlimen Jelutong Jeff Ooi juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.
Utusan Malaysia pada halaman cetaknya hari ini bukan sahaja menyemak kesahihan berita tersebut sebaliknya mengapi-apikan perkara itu dengan melaporkan “selain menjamu selera (Jeff Ooi) turut bertafakur semasa paderi-paderi itu berdoa.”

Dalam laporannya itu juga disiarkan sekeping gambar yang kononnya menunjukkan seramai 35 orang paderi tersebut dikatakan berdiri dalam bulatan dan saling berpegangan tangan tanda bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Utusan yang memetik blog itu melaporkan "Apa yang dilakukan DAP adalah sesuatu yang sangat berbahaya. DAP membawa strategi politik cauvinis mereka ke satu tahap perubahan dan sensitiviti yang sangat tinggi."

Menurut Lim tidak ada sesiapa yang akan mempercayai dakwaan yang dibuat oleh penulis blog berkenaan kerana DAP tidak pernah terlintas untuk mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

“Ini permainan politik orang yang terdesak,” kata Lim sambil menambah, “dalam usaha memancing undi mereka sanggup melakukan apa sahaja”.
Sementara itu, penganjur mesyuarat tersebut, National Evangelical Christian Fellowship, bersama rakan-rakannya yang lain, Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship, juga menafikan dakwaan berkenaan.

Mereka juga menganggap tulisan berkenaan berbaur fitnah.
Menurut kumpulan itu, mesyuarat dan seminar yang diadakan itu bagi membincangkan isu rasuah dan sumbangan masyarakat Kristian bagi memeranginya.
"Ia tidak ada kena mengena dengan politik atau menukar agama rasmi negara,” kata mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan