PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 22 Mei 2011

Muhyiddin mudah lupa
Huzir Sulaiman

Saya masih tak faham kenapa Tan Sri Muhyiddin masih menuduh Pakatan Rakyat (PR) hanya pandai mengkritik kosong kenaikan harga minyak. Adakah dengan melaksanakan solusi kenaikan harga RM0.20 secara senyap-senyap dan berkali-kali itu di tengah malam ketika rakyat sedang nyenyak tidur itu solusi yang terbaik, bijak dan berhemah khususnya kepada rakyat?

Tindakan rakus dan hipokrit dari slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” hanya satu retorik murahan. Jelas pandangan rakyat dan kebajikan rakyat ditolak mentah-mentah. Adakah tindakan yang cukup tidak ‘gentleman’, tidak bermaruah dan penakut itu akan mirip kepada isu Cukai Perkhidmatan (GST) dan Kenaikan Tarif Elektrik yang pastinya akan mengheret rakyat golongan pertengahan dan bawahan ke kondisi yang lebih parah?

Mencari solusi yang terbaik untuk rakyat adalah hakikat tugas dan tanggungjawab seseorang yang memerintah wahai Tan Sri, lebih-lebih lagi apabila kamu berada di hiraki tampuk kuasa ke-2 tertinggi di Parlimen selepas Perdana Menteri dan juga pimpinan kepada Kerajaan Persekutuan. Tidak kira sesiapa pun yang memerintah, sememangnya mencari solusi itu adalah asas kepada segala urus tadbir rakyat tetapi haruslah telus, adil, berhemah dan tidak menzalimi serta dilihat oleh rakyat bersungguh-sungguh tidak mahu menjadikan solusi memerah keringat rakyat untuk menanggung beban derita ekonomi itu sebagai solusi alternatif awal. Bercakap dari minda kelas tadika, rakyat yang rata-rata sudah semakin bijak rasanya sudah muak dan sakit telinga dengan alasan-alasan yang sudah basi sejak zaman Tun M lagi. Saya agak ragu-ragu kenapa ahli politik seperti ini yang dikatakan cukup berpengalaman dengan sepak terajang politik dan urus tadbir negara selama hampir 40 tahun masih dipilih untuk mewakili rakyat malah dipilih pula oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri. Minda akal yang waras tidak melayakkan sesiapa pun seperti itu untuk diberi kuasa memerintah kecuali mereka yang melantik itu juga mempunyai gangguan akal dari jiwa yang karat seperti orang yang dilantik itu.

Rakyat memang selalu di dahulukan sebagai pilihan untuk menanggung beban ekonomi itu dari setiap solusi jalan pintas kerajaan yang memerintah. Pencapaian juga selalu di utamakan khususnya kedudukan Indeks Rasuah yang semakin corot dan Ketirisan dalam Pengurusan Kewangan Negara cukup jelas mempengaruhi solusi yang cukup tidak bijak, drastik dan terdesak itu, pada hemat saya cukup sinonim dan mirip kepada slogan 1Malaysia itu sebenarnya.

Pengecualian cukai selama 12 tahun kepada hasil perolehan Lynas Australia sebanyak RM8 Billion setahun atau RM96 Billion dalam tempoh 12 tahun, Kerugian RM1.14 Billion kerana ketidakcekapan pengurusan dalam projek landasan keretapi berkembar Rawang-Ipoh, Kegunaan RM500 juta wang pembayar cukai untuk menampung kerugian pelaburan kerajaan dalam syarikat Columbia Aircraft Manufacturing Corp di Amerika Syarikat, Kerugian Sime Darby sebanyak RM1.6 Billion dan Peningkatan Kos anggaran faedah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebanyak RM7.453 Billion adalah antara contoh yang sebenarnya harus dicegah dan ditegah terlebih dahulu oleh mereka yang memerintah sebelum keputusan menaikkan harga minyak, harga gula, tarif elektrik, perlaksanaan cukai perkhidmatan (GST), pelepasan cukai keterlaluan kepada syarikat asing dan pengurangan subsidi rakyat diambil kira sebagai solusi awal kepada hasrat kerajaan Tan Sri yang memerintah sebagai solusi jalan keluar negara untuk menjadi bankrap pada tahun 2019.

Jangkaan peningkatan jumlah subsidi dari RM10.3 billion kepada RM20.58 billion pada tahun ini khususnya yang membabitkan bahan bakar kerana kenaikan harga minyak dunia haruslah diimbangi dengan peningkatan pendapatan kepada pengeluar minyak negara PETRONAS selaku salah satu pengeluar minyak dunia dan penyumbang secara langsung kepada peningkatan pendapatan negara dan tidak hanya dijadikan sebab dan solusi utama untuk mengurangkan subsidi bahan bakar itu dengan menaikkan harga minyak RON 97 dan RON95 di malam hari.

Pengurangan subsidi rakyat dan masalah ketirisan pengurusan kewangan negara boleh diatasi dengan kaedah ‘Good Governance’ atau Tadbir Urus yang telus dan amanah. Jelas, kegagalan mereka yang memerintah dalam mentadbir urus segala transaksi ekonomi dengan baik sebaliknya telah menghukum rakyat yang tidak berdosa. Yang terpaksa melarat ditanah sendiri seperti peminta sedekah kepada pemerintah, kroni dan keluarga mereka yang terus menerus kekal dengan kehidupan yang cukup mewah. Saya tidak melihat ‘Leadership By Example’ atau Kepimpinan Melalui Teladan dalam isu pengurangan kos tadbir negara seperti yang digembar gemburkan oleh Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala. Kenapa pula rakyat yang harus menderita?

Sememangnya, antara tugas utama Pakatan Rakyat (PR) sebagai pembangkang adalah mengkritik kerana mahu memastikan Tadbir Urus yang baik dari Kerajaan Persekutuan yang memerintah wahai Tan Sri. Kritikan yang sememangnya bukan omongan kosong dan telah dibuktikan melalui Tadbir Urus yang baik di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) dan juga dari cadangan solusi Buku Jingga yang dilihat lebih adil dan telus dalam melaksanakan reformasi ekonomi yang adil kepada semua lapisan masyarakat.

Tan Sri jangan mudah lupa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan