PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 30 Mei 2011

Ucapan Dasar presiden fokus manifesto PRU 13
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan menumpukan kepada manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Setiausaha politiknya, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Ustaz Hadi juga akan menjelaskan kaedah menawarkan 'negara berkebajikan'iaitu manifesto yang dibawa parti itu pada PRU lalu.

Ianya juga termasuk tawaran terbaru Pakatan Rakyat iaitu tawaran 100 hari yang terkandung dalam Buku Jingga.

"Tentunya, ada beberapa agenda yang perlu dilaksanakan dalam mencapai maksud tersebut (negara berkebajikan), agenda untuk membetulkan pemikiran rakyat, membetulkan salah urus tadbir negara dan agenda untuk melaksanakan perubahan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Tambah beliau lagi, ucapan dasar Presiden juga akan menyentuh mengenai pemerkasaan gerak kerja pilihan raya di setiap peringkat bagi menghadapi pilihan raya.

Ia juga berbentuk seruan kepada seluruh ahli agar mempersiapkan mental dan fizikal ke arah PRU ke-13 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.

"PAS juga menggunakan ruang ini untuk memperkasakan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum.

"Seluruh jentera termasuk lajnah-lajnah dan dewan-dewan perlu digerakkan ke arah itu dan segala yang disampaikan menjurus ke arah konteks pilihan raya umum ke 13," katanya.

Ustaz Hadi akan menyampaikan ucapan dasar ini selepas majlis perasmian muktamar PAS Pusat pada 3 Jun di Dewan Utama Kolej Universiti Islam Zulkifli Ahmad (KUIZM), Taman Melewar untuk dibahaskan perwakilan dewan-dewan dan setiap negeri.

Muktamar penuh akan berlangsung 2 hingga 5 Jun sementara muktamar Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat akan berlangsung pada 2 Jun.

Bookmark and Share

Tiada ulasan:

Catat Ulasan