Dakwah politik dekati pengundi PRU13
28 Januari 2013
Ikuti perkongsian perjalanan dan kemajuan yang dicapai sayap pemuda itu bersama Wartawan Sinar Harian, NOOR AZURA SAHRIL & NOOR FAIZAL GHAZALI bersama Jurugambar, ROSLI TALIB.
Apakah perancangan masa depan Ustaz untuk keseluruhan jentera Pemuda Pas?
Saya sebagai pemegang amanah Ketua Pemuda Pas, perlu mencorakkan masa depan Pemuda sebagai jentera parti yang menepati piawaian sebagai agen perubahan. Oleh itu, perlu untuk memperbaharui corak dan gaya fikir melalui anjakan paradigma, dan mendepani cabaran semasa.
Saya sasarkan melalui tiga segmen utama, iaitu Pemuda Pas perlu memiliki akidah yang benar dan keyakinan yang tinggi kepada ALLAH. Keduanya, adalah pemikiran Islam yang syumul dengan merangkumi semua tasawur Islam yang luas dan ketiga sahsiah yang soleh dan menepati tuntutan syariat.
Ini sangat penting dalam membina masa depan dan kepimpinan anggota dalam Pas dengan adanya penglibatan tiga sinergi yang mantap dalam Pemuda iaitu ulama muda, profesional muda dan aktivis muda.
Ketiga-tiga sinergi ini akan menjadi sayap penting dalam parti. Ini struktur organisasi Pemuda Pas yang bergerak secara jangka panjang yang gabungan sinerginya mantap dan seimbang.
Bagaimana pula dengan perancangan Pemuda untuk menarik sokongan lebih ramai golongan muda menyertai Pas dan Pakatan Rakyat?
Pemuda menggunakan pendekatan yang meletakkan mereka sebagai rakan anak muda, yang mudah mudah mesra, mudah didekati, yang berkebajikan dan aktif membawa maklumat kepada masyarakat. Dengan kerjasama NGO dan badan berkanun, Pemuda bergerak secara kolektif dan bersifat interaktif dengan semua pihak.
Ini memposisikan Pemuda dengan khalayak yang terdiri daripada pelbagai segmen masyarakat dan latar belakang. Pemuda tidak bersifat eksklusif, tetapi inklusif di mana semua segmen lapisan anak muda didekati termasuklah kumpulan terpinggir dan bermasalah.
Begitu juga dengan golongan artis kerana di belakang mereka ini, mempunyai ramai peminat. Dengan cara itu, mendekatkan lagi Pemuda dengan pelbagai lapisan anak muda. Bagaimana pula dengan maklum balas yang diterima?
Maklum balas yang diterima menarik. Langkah pertama, Pemuda Pas membuang jurang, halangan dan benteng yang ada dengan bersedia menerima kepelbagaian dan sikap anak muda. Inilah pendekatan Pemuda Pas untuk mesra dengan anak muda dan berasimilasi apa jua keadaan sama ada secara formal atau sebaliknya.
Tumpuan bagi Pas dan Pakatan Rakyat (PR) adalah golongan pertengahan dan muda. Jadi isu yang dibangkitkan harus bersifat nasional dan menyeluruh meliputi keperluan semua bangsa.
Pemuda Pas kini mula melihat pola pengundi dari kaca mata usia berbanding dengan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memaksa semua pihak untuk memandang pecahan undi daripada sudut kaum.
Pemuda Pas lebih prihatin mengenai golongan muda berusia 35 ke bawah. Golongan ini baru bermula ke alam pekerjaan, baru berumah tangga, terpaksa mengambil pelbagai jenis pinjaman untuk meneruskan kehidupan.
Dua isu besar yang difikirkan golongan muda adalah bagaimana meningkatkan pendapatan pada waktu yang singkat untuk membiayai dua keperluan utama, iaitu bayaran kereta dan rumah.
Bagi yang bergaji RM3,000 ke bawah, dan tinggal di ibu kota, lebih 50 peratus gaji dihabiskan pada pinjaman kereta dan rumah (sama ada sewa atau beli).
Lebih teruk lagi jika mereka dibebani hutang pelajaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) - maka sebenarnya golongan ini tersepit dengan hutang sejak awal - dan perkara ini tidak bagus untuk negara kerana ekonomi tidak bergerak, wang tidak berpusing kerana golongan muda yang kini menjadi golongan signifikan tiada duit lebihan untuk dibelanjakan.
Maka tiga isu utama yang dikemukakan PR iaitu - turun harga kereta, rumah mampu milik dan batal PTPTN akan sangat menyengat berbanding jentera BN terhadap golongan muda ini.
Selain itu, Pemuda Pas juga menggunakan pendekatan dakwah politik untuk mendekati dan mengajak golongan atas pagar bersama kita.
Ramai berpandangan, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) adalah paling sengit dalam sejarah pilihan raya. Adakah ini sedikit sebanyak menggentarkan Ustaz?
Secara asasnya, tiada rasa gundah dan gentar untuk berhadapan dengan suasana ini kerana kita telah bersedia dan bersiap siaga untuk menghadapi segala cabaran. Pada saya sebagai pemegang amanah Ketua Pemuda Pas, tiada istilah gerun dan resah apatahlah lagi takut dan gentar dalam kamus perjuangan saya.
Malah saya akan terus memimpin dan memacu Pemuda Pas untuk membantu parti membawa pulang trofi kemenangan dalam PRU13 kelak. Walaupun mengakui cabarannya sengit dan harapan tinggi digantung kepada Pemuda, kita menyahut cabaran itu dengan yakin, optimis dan saya bersedia diposisikan di mana-mana oleh parti untuk berhadapan dengan BN.
Bagaimana dengan persiapan Pemuda Pas menjelang PRU13?
Pas sebagai gerakan Islam tentunya memfokuskan kepada pengukuhan dan pemantapan spiritual yang menyasarkan kepada tiga persiapan utama. Pertamanya, jentera Pas jangan sesekali melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada ALLAH.
Keduanya dengan mendekatkan diri dengan ALLAH dan memperbanyakkan amal ibadat. Ketiga, jentera Pas perlu sentiasa memelihara nilai akhlak dan spritual mereka.
Menjelang PRU13, apakah perancangan Ustaz untuk menarik pengundi bukan Melayu mendekati Pas?
Kami telah mengenal pasti ada isu bersama yang bertindan bukan sahaja yang dihadapi oleh orang Islam, bahkan bukan Islam. Langkah pertama, Pemuda bekerjasama dengan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), mewujudkan keharmonian nasional.
Keduanya, Pemuda bekerjasama dengan parti komponen, iaitu Dapsy dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan sentiasa mengadakan pertemuan bulanan bersama. Ketiganya, menangani isu anak muda sentiasa melepasi sempadan kaum khususnya isu ekonomi yang dirasai oleh semua kaum.
Pemuda melalui NGO - Haneef akan menjadi proksi Pemuda Pas untuk menggerakkan isu ekonomi sekali gus mendekatkan kumpulan anak muda pelbagai lapisan bukan Islam terhadap Pas.
Pemuda Pas juga akan menggerakkan Gerakan Selamatkan Ekonomi Negara (Gesa) yang akan mengangkat isu berkaitan ekonomi, khususnya berkaitan sara hidup, pengangguran, keselamatan, pengangguran sosial.
Dalam menggerakkan Gesa, saya telah diamanahkan sebagai Presiden, yang akan dilancarkan dalam masa terdekat dan menjadi gerakan gelombang anak muda untuk bangkit bersama, mencari alternatif baru dalam menggerakkan ekonomi negara.
Adakah dengan pendekatan itu, Pemuda Pas yakin ia berkesan?
Kita melihat daripada kajian yang dilakukan, isu ekonomi yang paling dititikberatkan di dalam negara kita tanpa isu-isu lain diketepikan, antaranya soal integriti kepimpinan.
Dalam menarik kepercayaan semua pihak, memerlukan modal keyakinan yang paling besar. Oleh demikian, isu ekonomi sangat penting termasuk tuntutan turun harga kereta, rumah mampu milik dan penghapusan cukai tidak perlu menyentuh semua pihak.
Adakah calon Pas pada PRU nanti ramai dalam kalangan Pemuda?
Di peringkat Pemuda Pas, kami menyasarkan 40 peratus, cuma tidak mensyaratkan calon datang daripada Pemuda semata-mata, kerana anak muda itu juga boleh diwakili Ulama Pas dan Muslimat Pas.
Pas akan tampilkan muka baru dan anak muda. Ia sebagai antara cara untuk menunjukkan kesungguhan, bahawa Pas sangat mengambil kira keperluan anak muda yang mewakili separuh daripada pengundi pada PRU nanti... prihatin dengan anak muda yang mampu mencorakkan masa depan negara.
Cabaran Pas khususnya dalam menggerakkan jentera pada PRU13 berbanding kelebihan jentera parti lawan?
Pas sebenarnya berhadapan dengan cabaran yang dihadapi sejak sekian lama, dengan tidak diberikan peluang yang seimbang sebagaimana parti pemerintah. Umpamanya tidak memiliki kemudahan media massa bagi menyalurkan maklumat kepada rakyat.
Kita semuanya serba terhad, sebagai sebuah parti bukan pemerintah dan sering ditekan daripada segenap segi. Contohnya, untuk masuk di kawasan Felda, kami tidak dibenarkan di mana syarat Pas untuk beraktiviti di kawasan Felda perlu mendapat kelulusan.
Ini sudah tentu menyulitkan, dan bertentangan dengan semangat demokrasi. Sedangkan di Felda juga kami ada penyokong dan ahli Pas. Saya percaya jika diberikan peluang, sepertimana dengan Umno yang boleh berkempen, kita juga akan dapat peluang menguasai kawasan Felda.
Kita juga berdepan dengan tindakan lain dan ibaratnya bertanding dengan padang yang tidak sama rata. Walaupun begitu, cabaran itu menjadikan motivasi untuk Pas.
Bagaimana Pas melihat, peluang parti untuk menang pada PRU13 ini?
Kami tidak meletakkan parti dalam zon selesa dalam menghadapi PRU. Walau negeri mana pun, kita tidak mahu terlalu yakin kerana meletakkan zon selesa dan terlalu yakin akan memerangkap diri.
Untuk itu, kita akan bekerja gigih, untuk bersaing mendapatkan lebih, kerana kita mempunyai peluang mencipta kemenangan. BN juga berpotensi menang, situasinya 50 -50. Pemuda dalam usaha mempertahankan negeri yang kita menang. Kami juga mahu mempertahankan kerusi yang ada, dan menyasarkan kemenangan semaksimum mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan