"Kami ke jalan raya jika pru tipu"
Harakahdaily, | 20 Jan 2013 |
(Penonton yang mengikuti ceramah Mohamad Sabu malam tadi)
SELAYANG: Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112), Haji Mohamad Sabu berjanji akan menghimpunkan lebih ramai rakyat lagi jika berlaku sebarang penipuan dalam pilihan raya umum akan datang.
Jika berlaku demikian, beliau berjanji, rakyat tidak akan pulang selagi kerajaan yang naik secara penipuan itu tidak turun.
"Kita janji, jika kerajaan tak turun, kita tidak akan pulang," katanya dengan disambut tepukan gemuruh para hadhirin.
Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS itu berkata demikian ketika memberikan ceramah di tapak Uptown, Bandar Tasik Puteri malam tadi.
Turut serta memberikan ceramah bersama beliau adalah Dr Dzulkefly Ahmad (anggota Parlimen Kuala Selangor), Datuk Mohd Arif Sabri (bekas Ketua Penerangan Umno Pekan) dan Faris Musa (Pengerusi Jingga 13.)
Lebih 1,000 menyertai ceramah anjuran PKR itu.
Sudah beberapa himpunan dibuat untuk mendesak agar pilihan raya umum diadakan dengan bersih.
Bersih, Bersih 2 dan Bersih 3 dibuat bagi menuntut pilihan raya yang bersih dilakukan.
Segala perkara yang dibangkitkan dalam himpunan itu kini terbukti melalui siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) yang dibuat di Sabah.
Pelbagai pihak membuat pengakuan mengenainya termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Saya yakin, perkara yang berlaku di Sabah inilah yang dibuat di Terengganu menjelang pilihan raya 2004 lalu dan kini sedang dibuat di Selangor," kata Mohamad Sabu (gambar).
Dalam pilihan raya 2004, kerajaan PAS Terengganu ditumbangkan selepas hanya satu penggal mentadbir apabila berlaku kenaikan mendadak pengundi di Terengganu.
Di beberapa kerusi DUN dan Parlimen, jumlah pengundi yang keluar mencecah hampir 90 peratus yang tidak pernah berlaku dalam sejarah.
Dalam masa yang sama, pusat-pusat pengundian di Selangor telah dilanjutkan tempohnya melebihi jam 5 petang untuk membolehkan mereka yang pergi mengundi ke Terengganu sempat pula mengundi di Selangor.
Menjelang PRU 13 ini, peningkatan pengundi mendadak berlaku di Selangor iaitu sehingga hampir setengah juta.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendakwa, usaha telah dibuat untuk membawa balik pengundi yang didaftarkan di Terengganu itu ke Selangor.
Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor mengeluarkan satu laporan penuh Projek Pendemokrasian Negeri Selangor yang mendapati 497,084 baru didaftar dalam Daftar Pemilih Induk di Selangor.
Sejumlah 28 peratus (134,675) dari pemilih itu tidak dapat dikenal pasti siapa mereka.
MB Selangor mendakwa peta pilihan raya tidak lengkap dalam kawasan dewan undangan negeri (Dun) adalah punca kerajaan negeri Selangor menghadapi situasi terkini itu.
Kajian-kajian yang dibuat pula mendapati pelbagai perkara berlaku termasuk sejumlah besar pengundi yang didaftar di bawah satu alamat.
Lebih 79,000 pengundi yang didaftarkan dalam lebih 350 alamat yang sama, di mana setiap alamat itu merekodkan lebih dari 100 pengundi.
PERINGATAN: Komentar
yang diutarakan melalui laman sosial ini adalah milik peribadi akaun
laman sosial ini. Segala risiko akibat komentar yang disiarkan TIDAK
menjadi tanggungjawab Harakahdaily. Komentar yang disiarkan menjadi
tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Para komentar dinasihatkan
bertanggungjawab dalam menulis dan elakkan komentar melampau dan berbaur
perkauman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan