PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 18 Julai 2011

Hiburan: Umno bersandiwara di sebalik isu moral
Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Umno dan kerajaan BN jelas kelihatan amat tidak ikhlas dalam mengawal persoalan hiburan di kalangan rakyat, sebaliknya hanya bersandiwara dalam menjaga persoalan moral dan agama dalam sistem pentadbirannya.

Perkara itu jelas terbukti apabila diteliti sikap para pemimpin Umno dan BN terhadap langkah baik yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mengenai larangan berhibur pada bulan Ramadhan, tetapi ditentang oleh mereka dari segala sudut.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, lebih ketara lagi, di sebalik tentangan mereka terhadap langkah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu, mereka tidak pula membantah tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Melaka yang melanjutkan tempoh berhibur sehingga jam 3.00 pagi.

Menurut beliau, pada hal tindakan yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu, selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan Kedah ketika berada di bawah kepimpinan BN dahulu, yang telah pun membuat peraturan itu pada bulan Ramadhan.

Katanya, bezanya, kerajaan BN Kedah dahulu hanya sekadar meluluskan peraturan itu sahaja, tetapi tidak pernah dikuatkuasakan, manakala Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pula mengambil tindakan untuk melaksanakannya dalam erti kata sebenarnya demi kepentingan agama dan seluruh rakyat negeri itu.

"Setelah Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah mahu melaksanakannya, para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan tiba-tiba bangkit menentangnya, seolah-oleh peraturan itu adalah sesuatu yang asing kepada mereka, pada hal ia telah diluluskan oleh kerajaan Kedah semasa berada di bawah BN dahulu.

"Jika mereka ikhlas, kenapa mereka tidak menentang ketika kerajaan BN Kedah meluluskan peraturan itu dahulu, tetapi hanya menentang apabila Kerajaan Pakatan Kedah yang mahu melaksanakannya?

"Ini jelas memperlihatkan sikap double standard di kalangan para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan dalam perkara ini yang pasti dapat dilihat dengan jelas oleh setiap pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amat menyedihkan, menurut beliau, tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu sememangnya amat baik bagi orang ramai terutama di kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan.

Katanya, namun disebabkan kepentingan politik, para pemimpin Umno dan BN sanggup menentangnya, walaupun ia pasti akan mendatangkan kesan amat buruk kepada masyarakat.

Lebih dikesali oleh beliau, ketika Kerajaan Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk mendidik rakyat agar menjadi lebih berakhlak, bermoral dan mematuhi ajaran agama, kerajaan BN Melaka di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Ali Rustam telah mengambil langkah lebih tidak bertanggungjawab.

"Ini amat jelas kelihatan apabila kerajaan Melaka telah melanjutkan pembukaan pusat hiburan di Melaka dari jam 1.00 pagi sehingga jam 3.00 pagi.

"Tetapi tindakan kerajaan Melaka itu tidak pula ditentang oleh para pemimpin Umno, MCA dan Gerakan yang begitu bersungguh-sungguh menentang langkah yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah itu.

"Jadi amat jelas, mereka sebenarnya hanya bersandiwara dengan rakyat. Mereka sebenarnya bertindak sedemikian bukanlah untuk kepentingan moral rakyat, tetapi hanyalah untuk kepentingan politik mereka sendiri sahaja," ujarnya.

Dalam dalam hubungan ini, beliau memuji langkah bijak yang diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah kerana mengambil pendekatan tepat setelah mengadakan perbincangan dengan pemimpin DAP yang menentang larangan hiburan pada bulan Ramadhan.

"Tindakan DAP itu sebenarnya berpunca dari ketiadaan kefahaman para pemimpin DAP mengenai perkara itu. Setelah diadakan perbincangan, pemimpin DAP dan pengusaha-pengusaha pusat hiburan di Kedah sendiri akhirnya bersetuju untuk melaksanakan larangan itu di kalangan umat Islam.

"Setelah diberikan kefahaman, orang-orang bukan Islam sendiri turut memberikan komitmen untuk menguatkuasakan larangan itu. Ini kerana larangan memasuki pusat-pusat hiburan pada bulan Ramadhan itu sendiri bukanlah untuk orang bukan Islam, tetapi hanya untuk orang Islam.

"PAS sebenarnya tidak menyekat orang bukan Islam berhibur, tetapi PAS menyekat orang Islam dari berhibur sehingga keterlaluan, lebih -lebih lagi pada bulan puasa dan ini tentunya berkait rapat dengan sensitiviti umat Islam sendiri dalam menyambut Ramadhan," katanya.

Dari kejadian itu juga, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar secara jelas menegaskan perbezaan Pakatan Rakyat dan BN, apabila para pemimpin Pakatan Rakyat ternyata lebih bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjaga isu moral.

"Ini jelas terbukti apabila para pemimpin Pakatan Rakyat sentiasa mengambil sikap berterus terang, berbanding para pemimpin Umno dan BN yang sering bermuka-muka dengan rakyat untuk menjaga kepentingan politik masing-masing," tegas beliau.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan