PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Rabu, 6 Julai 2011

Pakatan kesal sikap melampau KDN, polis
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Pakatan Rakyat kesal dengan sikap Kementerian Dalam Negeri (KDN), yang masih memberi pelbagai tekanan dan halangan kepada himpunan Bersih 2.0 walaupun Yang di-Pertuan Agong membenarkan himpunan di stadium.

Ianya termasuk penangkapan mereka yang memakai dan membawa baju Bersih, halangan ceramah Bersih, pendakwaan mereka yang ditangkap, dan keengganan membenarkan bersih berhimpun di stadium.

"Kita kesal dengan sikap keterlaluan Menteri Dalam Negeri yang menyimpang dari rundingan Yang di-Pertuan Agong, seolah-olah mengatakan 'kami tidak peduli rundingan kamu dengan Agong," kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas majlis pimpinan Pakatan Rakyat di sebuah hotel di sini.

Turut serta pada sidang media itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiusaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Sambil menyifatkan KDN 'mensabotaj' perkenan Agong, Anwar juga menyelar sikap KDN itu yang juga bertentangan dengan janji yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.

"Ia semangat rundingan Bersih dengan Yang di-Pertuan Agong, pindah dari perarakan awam ke stadium, disahkan oleh perdana menteri.

"Apa alasan (KDN) nak batalkan lagi," soalnya.

KDN, polis jangan jadi alat politik

Sementara itu, Mohamad Sabu ketika mengulas perkara sama manyeru pihak polis bertindak menjaga keselamatan rakyat yang mahu berhimpun secara aman tersebut, dan bukan menjadi alat politik pihak tertentu.

Tindakan itu kata Mohamad, hanya memburukkan lagi imej pasukan keselamatan itu di mata rakyat.

"Masa masih belum terlambat. Ketua Polis dan anggota perlu tunjuk kewibawaan menjaga keselamatan rakyat, bukan pihak tertentu,"katanya.

Ditanya jika hasrat mengadakan himpunan di stadium juga dihalang pihak berkuasa, Mohamad berkata dia yakin dengan janji Najib.

"Dia (kerajaan) mesti bagi sebab itu janji perdana menteri 'yang dikasihi'," katanya sambil tersenyum.

Lim Kit Siang ketika mengulas janji Najib itu juga berkata "saya tidak ragu-ragu dengan keihklasan perdana menteri".

Sehubungan itu, Pakatan Rakyat kata mereka bersetuju dengan keputusan bersih mengadakan himpunan di Stadium Merdeka dan akan memberi sokongan penuh bagi menjayakannya.

Mereka juga sekali lagi mengulangi komitmen untuk mengerahkan 300,000 ahli dari ketiga-tiga parti untuk hadir ke perhimpunan 9 Julai itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan