PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 18 Julai 2011

Perjuangan Dr Lo’ Lo’ perlu diteruskan
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali malam semalam sangat dirasai oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Titiwangsa kerana peranan beliau sangat penting dalam perjuangan PAS di Titwangsa dan semestinya amat sukar dicari ganti.

Timbalan ketuanya, Mohd Shahir Abu Hasan berkata Almarhumah Dr Lo' Lo' juga seorang yang gigih berjuang dan telah berjaya dengan segenap tenaga melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya.

“Dan ini terbukti beliau telah berjaya menempatkan diri di hati masyarakat parlimen Titiwangsa khususnya selepas beliau diamanahkan sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu,” katanya.

Beliau menambah, walaupun peruntukan tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada setiap ahli parlimen disekat, ia tidak mematahkan semangat almarhumah untuk terus berjuang memberikan khidmat kepada rakyat di Titiwangsa sehingga nafas terakhir.

“Jasa dan peranan beliau sangat besar, dan sifat beliau sebagai seorang ibu yang sering memberi teguran dan nasihat kepada Pemuda tidak akan kami lupakan malah akan menjadi azimat kepada perjuangan kami,” katanya.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, telah bersedia menyahut amanat beliau agar terus mempertahankan Parlimen Titiwangsa dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan datang dengan segenap tenaga dan kekuatan Pemuda.

“Pemuda juga berjanji akan terus memikul amanah rakyat yang telah ditinggalkan oleh beliau kepada kami, bersama-sama dengan PAS kawasan dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan kewangan bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan yang telah ditinggalkan allahyarhamuha di Titiwangsa, dan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa kepada PAS, bolehlah berbuat demikian dengan memasukkan wang ke akaun Dewan Pemuda PAS Titiwangsa BIMB 14041010075204.

Semoga setiap sumbangan akan diganjari dengan kebaikan berlipat kali ganda daripada Allah SWT.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan