PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 10 April 2011


Pengundi Tanjong Datu alu-alukan kehadiran PAS
Hazayani Zakaria
SANTUBONG, 11 April: PAS tidak silap membuat keputusan bertanding di N03 Dun Tanjong Datu apabila ternyata mendapat sokongan masyarakat setempat.

Meskipun PAS baru pertama kali bertanding di kawasan majoriti Melayu yang merupakan 53 peratus pengundi di Dun ini, namun sambutan yang diterima oleh masyarakat di sini sangat memberangsangkan.

Setakat hari kelima berkempen semalam, calon PAS, program Nani Sahari berjalan lancar dengan mengambil pendekatan melawat rumah ke rumah di setiap kampung termasuk masuk ke rumah panjang kaum Iban.

Sokongan masyarakat Cina juga tidak kurang hebatnya sehingga ada yang sudi menawarkan premis kedainya untuk program PAS.

Di kalangan masyarakat Melayu yang kebanyakannya bekerja sebagai petani dan nelayan, mereka tidak terlalu terdedah kepada dunia luar apatah lagi isu-isu semasa sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf ekonomi.

Namun apabila dijelaskan mengenai pentingnya pilihan raya dan sebab PAS bertanding, mereka menerima secara positif asalkan dapat membantu mereka dari sudut ekonomi.

Ada juga penduduk yang mengatakan PAS seharusnya menonjolkan diri lebih awal, sebelum pilihan raya negeri lagi.

Seorang penduduk yang ditemui yang merupakan penyokong PAS berpendapat, rakyat Sarawak yang pernah keluar dari Bumi Kenyalang itu lebih mudah untuk menerima PAS kerana mereka telah didedahkan dengan segala salah guna kuasa dan penipuan pemimpin BN.

Golongan ini sangat diperlukan di kawasan ini untuk menyebarkan kefahamannya kepada masyarakat setempat.

Selain itu,PAS juga amat memerlukan bantuan penduduk tempatan sepanjang tempoh kempen bagi memudahkan proses komunikasi dan memahami budaya dan adat resam mereka.

Ini kerana budaya dan adat resam mereka adalah perkara sensitif yang perlu dijaga.

Jika perkara ini tidak dititik beratkan sewaktu berkempen, sukar untuk PAS menembusi kubu BN-PBB di kawasan ini.

Seorang lagi wanita, Nani Sahari (gambar) diberi kepercayaan oleh PAS untuk merampas kerusi Dun Tanjong Datu daripada penyandang kerusi ini, Tan Sri Adenan Satem daripada BN-PBB.

Calon wanita yang diketengahkan PAS ini berasal daripada Kampung Pula, Petrajaya, Sarawak dan merupakan seorang graduan UiTM pada tahun 1993.

Nani,42 yang bertugas sebagai pembantu klinik di Sarawak merupakan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak pada tahun 2009 sebelum menyertai PAS tahun lalu.

Di Dun ini, Nani akan menghadapi satu lagi pertanding tiga penjuru berdepan dengan penyandang kerusi, Adenan and calon bebas, Gilbert Asson Kulong.

Pada tahun 2006, Adenan menang kerusi ini dengan mendapat 4,545 undi menewaskan Sobey Daud, PKR (409) dan Larry Dominic Linang, Bebas (357).

Jumlah Pengundi di Tanjung Datu seramai 7,936 dengan majoritinya Melayu (53.06%), Cina (19.63%), Iban (17.34%) dan Bidayuh (9.97%).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan