PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Rabu, 4 April 2012

Bosan konflik punca 69 ahli keluar Umno

Yaakub Dasan, 04 Apr 2012

RANTAU PANJANG, 4 April: Bosan dengan konflik yang tiada penghujung melanda Umno bahagian ini menyebabkan ramai pemimpin di peringkat akar umbi bertindak keluar daripada parti tersebut.

Bagi mereka hubungan dingin Ketua Bahagian, Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail tidak mampu dipulih lagi, biar pun ada kenyataan menggambarkan keadaan sebaliknya.

Bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Kedap, Abdul Rashid Daud berkata, permusuhan di peringkat bahagian belum reda kerana masing-masing mahu menjadi ketua.

Katanya, situasi itu sudah merebak ke peringkat akar umbi sehingga menyebabkan aktiviti parti tidak dapat diadakan seperti biasa.

“Pemimpin Umno Rantau Panjang tidak berkesudahan bermusuhan sesama sendiri. Sedangkan PAS nampak lebih padu perjuangan mereka.

“Sebab itulah kami merasakan tidak teragak-agak dan tiada sebab tidak mahu menyokong PAS. Perjuangannya bersandarkan agama,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan borang menyertai PAS beramai-ramai malam tadi.

Seramai 69 ahli dan penyokong Umno dari Cawangan Kampung Dangar dan Kampung Kedap menyerah borang menyertai PAS di majlis tersebut.

Borang berkenaan diserah Wan Zaidi Wan Hanapi kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis yang diadakan di rumah bekas Timbalan Ketua Umno Cawangan Kampung Dangar, Ismail Daud.

Hadir sama Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Adun Gual Periok, Ustaz Mohamad Awang.

Sebelum ini konflik yang melanda Umno Rantau Panjang mengundang campur tangan Perhubungan Umno Kelantan. Biar ada kenyataan hubungan Abdullah dan Mohd Zain sudah pulih, namun keadaan di akar umbi menggambarkan sebaliknya.

Sementara itu di Kubang Kerian difahamkan lebih 300 bekas ahli dan penyokong Umno di bahagian terbabit dijangka menyerah borang menyertai PAS dalam masa terdekat ini. Sempena program itu diadakan ceramah perdana dihadiri Menteri Besar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan