PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Rabu, 25 April 2012

Simbah cat rumah Mazlan ke-3 dalam seminggu

Harakahdaily, 25 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Gabungan Tanah Rakyat (Tanah) cukup kesal dengan pihak-pihak tertentu yang cuba mengancam dengan menyimbah cat merah di rumah Pengerusi Tanah yang juga Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Setiausaha Tanah, Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, kejadian itu disedari oleh isteri Mazlan pada jam 3.30 pagi selepas beliau balik daripada suatu program ceramah di Parit Sulong.

“Isteri beliau terhidu bau cat minyak di bekalang rumahnya di Felda Bukit Ramun, Kulai,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh seminggu di Negeri Johor.

Jelasnya, insiden pertama berlaku pada 19 April lepas di Markaz PAS Air Merah, Mersing dan kedua pada 22 April di kedai makan Setiausaha Persatuan Anak Pengerang (PAP), Azhar Mansor.

Baginya, perbuatan tidak bermoral itu berkemungkinan ada kaitan dengan cadangan Tanah yang akan menganjurkan suatu Himpunan Tanah Rakyat pada 5 Mei depan bermula jam 2.00 petang di Plaza Angsana, Johor Bahru.

Menurut Suhaizan lagi, antara tuntutan Tanah adalah menuntut kembali Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, menyiasat penyerahan tanah KTMB Tanjung Pagar, menghentikan pengurniaan tanah kepada KPRJ/kroni dan merampas tanah penyeleweng.

Semalam, Mazlan dalam kenyataannya kepada media memberitahu akan menurunkan 10 ribu ahli dan penyokong-penyokong Tanah ke Dataran Merdeka pada 28 April ini sebagai tanda sokongan Tanah kepada Himpunan Bersih 3.0.

Katanya, Tanah akan bekumpul di Menara Maybank jam 1.30 petang kemudian berarak secara beramai-ramai ke Dataran Merdeka.

Ekoran kejadian di rumah Mazlan itu, Suhaizan berkata, Tanah mendesak kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap motif kejadian dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

“Ini bagi mengelakkan kejadian di ingini berlaku selepas ini,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan