PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 1 April 2012

Najib jangan ingat rakyat Perak 'mudah lupa'

V Sivakumar, 01 Apr 2012

Najib telah melakukan satu kesilapan besar dengan merampas kerajaan Perak daripada Pakatan Rakyat. Dalam PRU12, rakyat Perak telah memberi mandat kepada PAS, DAP dan PKR untuk memerintah negeri ini.

Sejak 9 Mac 2008, Barisan Nasional telah cuba sedaya upaya untuk tumbangkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Pelbagai taktik kotor telah direncanakan oleh Najib untuk mendapatkan semula negeri Perak daripada Pakatan Rakyat. Semua agensi-agensi kerajaan telah disalahgunakan untuk mencapai matlamat Barisan Nasional itu. Akhirnya kerajaan pilihan rakyat telah ditumbangkan apabila 3 orang wakil rakyat berjaya ‘dibeli’ oleh Najib.

Perbuatan yang sungguh jijik itu merupakan kesilapan maha besar yang telah dilakukan oleh Najib. Beliau tidak sedar bahawa tindakan kejam itu boleh menghantui Barisan Nasional sehingga hari ini.

Rakyat Malaysia, khususnya rakyat Perak sangat marah terhadap Najib, Zambry dan Adun-Adun ‘katak’ yang tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Perak melalui pilihanraya. Mereka ini telah menderhaka kepada rakyat untuk kepentingan politik mereka. Golongan ini tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri Perak. Perbuatan mereka ini juga telah meruntuhkan kemurniaan sistem demokrasi di negara kita.

Najib menyangka ‘rakyat Perak mudah lupa’. Oleh yang demikian beliau berani merampas kerajaan Perak dengan menggunakan kekerasan polis dan memanupulasikan mahkamah. Tetapi, rakyat Perak tidak melupakan perisiwa hitam yang berlaku pada awal tahun 2009. Segala apa yang berlaku masih jernih dalam ingatan seluruh warga Perak.

Pakatan Rakyat yang memerintah negeri Perak selama 11 bulan dengan cekap dan berkesan ditumbangkan kerana ketamakan kuasa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional. Rakyat Perak kecewa kerana Pakatan Rakyat tidak diberi masa yang secukupnya untuk memerintah negeri dan membuktikan kewibawaannya.

Sebelum Pakatan Rakyat melaksanakan polisi-polisi yang dirancang untuk rakyat Perak, Barisan Nasional telah menggulingkan kerajaan itu dengan cara yang terkutuk.

Rakyat Perak mahu melihat satu perubahan dalam pentadbiran negeri ini. Mereka telah menolak kerajaan Barisan Nasional dalam PRU12, tetapi mereka kembali berkuasa melalui ‘pintu belakang’. Rakyat Perak bersedia untuk ‘ajar’ Barisan Nasional dalam PRU13. Mereka sedang menunggu hari mengundi untuk mengembalikan kuasa rakyat.

Najib dan kuncu-kuncunya sedar bahawa mereka telah hilang kepercayaan rakyat Perak. Najib tahu Barisan Nasional akan tumbang semula di negeri Perak. Kali ini Barisan Nasional akan hilang lebih banyak kerusi kerana tindakan zalimnya merampas satu kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Oleh kerana Najib takut akan kalah besar, beliau terpaksa ‘turun padang’ banyak kali di negeri Perak. Beliau melancarkan pelbagai program, mengadakan banyak jamuan makan dan memberi wang ringgit untuk mengambil hati rakyat Perak.

Najib terdesak dan terpaksa memberi tumpuan melampau di negeri Perak kerana beliau sedar tentang kesilapan yang telah dilakukan olehnya. Dalam ‘road show’ Najib, Perak merupakan negeri yang paling kerap beliau turun padang untuk bertemu dengan rakyat. Ini membuktikan bahawa Najib kini takut kepada rakyat Perak yang sedang menanti untuk menghukumnya dalam PRU13.

Kerajaan telah membuat pembayaran RM608.68 juta sepanjang tempoh 11 minggu kepada rakyat melalui lawatan rasmi Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yassin ke seluruh negara baru-baru ini.

Jumlah ini merupakan "peruntukan segera" yang diluluskan dari Januari hingga 15 Mac yang telah diserahkan semasa lawatan mereka berdua ke semua negeri, dengan Perak merekodkan kelulusan tertinggi sebanyak RM220.38 juta untuk 34 projek. Lebih daripada 1/3 jumlah peruntukan segera itu telah ditaburkan di negeri Perak.

Jelas bahwa Najib takut akan kalah teruk di negeri Perak dalam PRU13. Beliau tidak perlu berbelanja besar di Perak jika Barisan Nasional benar-benar mempunyai keyakinan dan mempunyai peluang yang cerah untuk menang. Dulu Najib beli ‘katak’ di Perak, sekarang dengan konsep unggulnya ‘I help you, You help me’ beliau sedang bermati-matian untuk membeli rakyat Perak itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan