Memperihalkan Nik Mohamad Abduh?
Putra politik Tok Guru Nik Abdul Aziz, Nik Mohammad Abduh katanya akan turun gelanggang pada kali ini dengan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Langkah itu saya kira tepat. Nik Abduh adalah satu-satunya dari 10 orang anak Tok Guru (lima lelaki dan lima perempuan) yang minat dan menunjukkan kecenderungan besar kepada politik.Nik Mohamad Abduh |
Memang Nik Abduh ada bakat dan kebolehan. Ada kerajinan dan kesungguhannya dalam menggilapkan dirinya untuk menjadi seorang ahli politik. Istimewanya Nik Abduh dia menyifati ciri-ciri keperibadian ayahndanya itu. Perwatakanya juga saling tidak tumpah. Tidak salah kalau dikatakan Nik Abduh adalah kembar politik Nik Aziz. Bagaimana pun akui Tok Guru, Nik Abduh agak 'kekok' sedikit dalam pergaulan. Saya faham akan kata-kata itu saya lihat Nik Abduh agak pasif.
Sebenarnya dari segi usia Nik Abduh sedikit terlewat untuk bergelar sebagai YB. Samalah dengan Husam Musa anggota Exco itu sudah agak terlebih lemak untuk menjadi Menteri Besar Kelantan. Dalam konteks pemuda Pas di Kelantan Abduh lebih tua berbanding dengan Abdul Latif Abdul Rahman ketua Pemuda Pas kini yang sudah bergelar sebagai YB. Malahan ketika Latif pertama kali bertanding di Dun Mengkebang usianya belum mencecah awal 30-an.
Kenapa kelewatan ini berlaku kepada Abduh? Mungkin kedudukan beliau
sebagai anak MB menyebabkan berlaku kelewatan itu. Abduh terpaksa
dikorbankan untuk tidak menampakkan wujud kronisme dalam Pas. Malahan
Tok Guru sendiri tidak suka kalau anaknya menjadi wakil rakyat sedangkan
dia masih menjadi MB. Apa dibimbangi dan dijagai Nik Aziz ialah
tanggapan mengatakan dia menjaga anak beranaknya sahaja.
Kenapa tidak, kalau Abduh bertanding ini menyebabkan orang mengatakan Pas sebagai Parti Nik Aziz anak beranak. Tentunya Tok Guru berwaspada dan mencermati agar tuduhan terhadap Allahyarham Mohd Asri Muda dulu tidak akan menimpa dirinya. Kerana Asri memilih di kalangan anak beranaknya untuk menguasai parti menyebabkan Pas dianologikan sebagai Parti Asri Sekeluarga. Nik Aziz mengelakkan ini sehingga sanggup mengorbankan anaknya Abduh untuk memastikan Pas tidak mengamalkan kronisme.
Berkebetulan pula Adun Bukit Tuku Abdul Fatah Haron adalah bapa mnertua Abduh dan besan Nik Aziz. Tertakdir ketiga-tiga mereka akan bertanding pada pilihan raya ke-13 ini, kebimbangan Pas akan dilebelkan sebagai parti mengamalkan kronisme tidak dapat dielakkan dan akan menjadi isu dalam pilihan raya nanti.
Alhamdulilah... persepsi itu tidak akan berlaku sekiranya Abduh bertanding pada pilihan raya ini disaat ayahnya sudah lanjut usia. Orang semua tahu kalau Abduh bertanding adalah pemikul khazanah politik dan perjuangan ayahnya. Tok Guru selepas ini akan berundur dari menjadi wakil rakyat dan hanya terus menyandang jawatan dalam parti kerana itu adalah amanah dan ikrarnya dengan Allah.
Nik Abdul Aziz Nik Mat |
Okey, persoalan sekarang ini di kerusi manakah Abduh akan ditempatkan? Sekiranya Tok Guru mengambil keputusan mengejut untuk tidak bertanding sudah pasti kerusi yang paling afdal dan sesuai ialah Chempaka yang diwakilnya hari ini. Pertukaran itu sebagai bersalin tikar. Itulah sebaik dan semolek-moleknya. Untuk meraih kemenangan juga tidak begitu sukar kerana pengaruh Tok Guru di situ kuat dan Abduh sendiri adalah dari kawasan Pengkalan Chepa.
Tetapi kalau Tok Guru masih dipaksa untuk bertanding kononnya untuk memberi semangat dan menjamin kemenangan Pas Kelantan, di manakah kerusi sesuai untuk timbalan ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia itu? Saya berharap keputusan untuk meminta Tok Guru terus bertanding bukan keputusan muktamad dan boleh difikir semula. Ahli dan penyokong Pas perlu mengorbankan rasa kasih sayang kepada Tok Guru sebagai MB sebaliknya ditukar menjadi Tok Guru sepenuhnya. Tok Guru tidak perlu lagi dibebani dengan masalah pentadbiran yang ada kalanya memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk dihadapinya.
Nik Omar Nik Abdul Aziz |
Kalau Tok Guru berundur sebelum pilihan raya ini menyenangkan untuk Abduh. Sama ada Abduh berminat untuk ke Parlimen bagi mengikuti jejak ayahnya dalam memunggut bintang-bintang kecemerlangan dalam politik ataupun bertanding di Dun untuk belajar dan berlatih menjadi seorang pemimpin dengan title wakil rakyat terserah kepadanya. Yang jelasnya tanpa Tok Guru bertanding lebih menyelesakan beliau.
Kalau keputusan Tok Guru perlu bertanding masih kekal, bermakna satu kerusi atau kawasan lain perlu dicari untuk Abduh. Sebelum ini katanya kawasan Pasir Mas telah ditunjukkan untuk Abduh. Ada munasbahnya kerana kerusi kawasan itu kosong apabila ia dipinjamkan kepada Inchek Ibrahim Ali dalam pilihan raya 2008 lalu. Kekosongan itu dikira wajar kalau Abduh dihantar ke situ kerana ia tidak menganggu kepentingan mana-mana orang. Bagaimana pun cadangan itu nampaknya terubah apabila ada pandangan dan nasihat kerusi itu tidak selamat bagi Abduh memandangkan kemungkinan berlaku kolaborasi politik di antara Umno dengan Inchek Ibrahim.
Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru - Pas - BN dan Ibrahim, mungkin ia memberi jalan mudah kepada Abduh. Tetapi kalau terjadi pertandingan dua penjuru ia menyenakkan Abduh. Banyak sebab kenapa akan berlaku begitu, antaranya Abduh tidak akan terlawan permainan kotor politik Inchek Ibrahim yang pasti banyak menggunakan wang. Sila baca catatan saya sebelum ini.
Ada juga cadangan hendak bawah Abduh ke Pasir Puteh atau pun Machang. Satu masa sudah hampir pasti Abduh akan bertanding di kerusi Pasir Puteh. Machang dikira kurang selamat untuk Abduh. Saya secara peribadi tidak ada alasan tuntas untuk meletakkan Abduh di Machang atau Pasir Puteh. Bagi saya meletakkan Abduh di kerusi-kerusi itu sama dengan meletakkan Abduh di Pasir Mas.
Kerusi-kerusi itu adalah 'lubang maut' untuk Abduh yang sudah pasti akan menyedihkan Tok Guru apabila keputusan diumumkan kelak. Baik Pasir Puteh atau Machang dan Pasir Mas bukan tempat untuk diletakkan anak muda seperti Abduh. Justeru itu saya mencadangkan tempat paling kondusif untuk Abduh selain Pengkalan Chepa sendiri ialah Rantau Panjang atau Kubang Kerian.
Malangnya tidak ada pihak yang ingin berkorban dan berbudijasa kepada Tok Guru. Di Kubang Kerian tiada sesiapa pimpinan Pas di Kubang Kerian memberi reaksi kepada cadangan saya. Mungkin sentimen kaumiyah wal dengkiah, atau sentimen aliran dan perangai terbawa-bawa. Sikap profesional juga tidak menyerlah. Mungkin kerana Abduh orang luar? Dalam melihat Nik Abduh mereka tidak nampak bayangan Tok Guru yang melingkungi batang tubuh anaknya itu.
Saya malas persoalkan ini dan lebih untuk mengatakan pemainan orang politik di Kelantan termasuk Pas belum sampai tahap profesional dan buta untuk melihat bayangan di balik tabir hitam! Dalam budaya politik kita kalau bermusuh dengan satu orang semua sekeluarga dimusihi sekali.
Tok Guru sebagai Pesuruhjaya dan MB tidak akan melakukan apa-apa untuk kepentingan anaknya. Dia tidak akan meminta dan menyediakan ruang kepada Abduh. Dia tidak akan munafik dalam soal ini. Semasa anaknya berlawan untuk merebut jawatan ketua pemuda Pas Kelantan, kalau hendak dikira beliau boleh memanggil Abdul Latif dan minta undurkan diri. Tetapi tidak dilakukan kerana ia membabitkan anaknya sendiri.
Tetapi demi orang lain Tok Guru sanggup dan tergamak lakukan. Apa yang menimpa Mohammad Sabu yang menang sebagai YDP Kubang Kerian mengalahkan Muhammad Daud membuktikan Tok Guru berani dan tergamak lakukan. Mat Sabu diminta melepaskan jawatan itu dan diserahkan semula kepada Muhammad.Tetapi kalau untuk anaknya, tidak.
Kalau bukan presiden Pas Abdul Hadi Awang yang beriya meminta Abduh bertanding sebagai perwaris zaman, pasti Tok Guru tidak akan membenarkan puteranya itu bertanding selagi ia berada atas kerusi.
Di sinilah perlu adanya mana-mana Yang Dipertua Pas kawasan berkorban jiwa dan membalas budi kepada Tok Guru kandatipun beliau tidak minta, dengan menyembahkan tawaran kepada Tok Guru agar Abduh bertanding di kawasannya. Apakah ada? Saya rasa tidak ada kerana masing-masing tamak dan masih melihat kepada kaum kerabat sendiri. Barangkali semua YDP kawasan melihat Nik Abduh orang asing dan bukan darah daging Nik Aziz yang mereka puja dan bodek sampai ke langit hijau.
Alangkah manis dan indahnya kalau ada mana-mana YDP Pas berbuat
demikian. Tentunya hati Tok Guru itu aman dan damai serta merasakan dia
dihargai. Saya berani menyatakan kalau ada yang berbuat begitu Tok Guru
akan sebak dan menangis kerana terharu Saya rasa begitu.
Biarlah. Kini ada pula ura-ura untuk membawa Abduh ke Rantau Panjang ke kawasan yang awal-awal saya cadangkan dulu. Ada logik dan moleknya kalau beliau dibawah ke kawasan ini. Di sini bapa mertuanya adalah YDP Rantau Panjang. Bapa mertuanya boleh membantunya. Masakan dengan menantu sendiri pun bapa mertua akan munafik dan berlaku jahat. Lagipun Abdul Fatah katanya sudah bersiap sedia untuk berundur dan memondok?
Lagipun kawasan Rantau Panjang adalah dikira selamat. Mungkin bagi Nik Abduh dan Tok Guru sendiri mereka tidak mahu berjalan atas karpet. Bagi mereka sunah perjuangan itu perlu memijak duri dan meradak sungai beronak duri. Tetapi bagi manusia yang akal sihat dan terbuka, apakah kita tidak merasakan bahagia kalau menyediakan perjalanan licin untuk orang yang kita anggap Tok Guru?
Dalam hal ini sepatutnya Abdul Fatah sebagai YDP dan Nasaruddin Daud
sebagai timbalan menghadap Tok Guru dan menawarkan kerusi Rantau Panjang
kepada Abduh. Mungkin kalau ada cadangan dari orang asing dan penulis
seperti saya ia tidak akan merangsang Tok Guru kerana saya bukan orang
parti. Kalau pun tidak setuju dengan pandangan saya ini setidak-tidaknya
datang lah untuk menghibur hati Tok Guru.
Apapun barangkali kerusi untuk Abduh kali ini pasti ada dan mungkin sudah pun muktamad.
Dan ini pula saya hendak membebel kepada Abduh. Dalam perhatian saya, sikap Abduh seakan selamba sahaja dan seolah-olah dia tidak mahu bertanding di Kelantan. Dalam keadaan orang lain riuh randah memperkenalkan diri, menyusun jentera dan berkempen, namun beliau masih senyap tipas. Apakah kerana belum ada kepastian kawasan mana, maka terjadi demikian atau sudah rasa selesa?
Saya lihat maklumat dalam Fb Abduh banyak menerawang di luar Kelantan sampai Sabah dan Sarawak. Mengadakan ceramah dan kuliyah agama di serata tempat. Mengadakan pendekatan dan pertemuan dengan berbagai entiti manusia, dan turut juga sampai berlakon dalam filem you tube. Malangnya tidak terjumpa oleh saya kegiatan Abduh di Kelantan. Baik gambar menyampai kuliyah agama di mana-mana surau, atau berada di pentas ceramah ataupun berada dalam majlis politik. Cuma sekali sekala ada menyampaikan kuliyah di Dataran Ilmu kerana mengganti ayahnya.
Maaf kalau saya tidak ternampak. Sepatutnya beliau ikut berkhemah di Kelantan. Sebagai timbalan ketua pemuda seharusnya beliau bergabung dengan Pemuda Pas negeri mengadakan apa-apa aktiviti. Kesenggangan kita kerana sentimen dan salah faham tidak boleh dibiarkan. Nasruddin Hasan patut delegate power untuk Abduh menggerakkan Pemuda Pas Kelantan. Dengan cara itu ia akan memperlihat Abduh juga bernafas di Kelantan dan bukan hebat nun jauh di tempat orang.
Abduh atau sesiapa juga kena faham dalam politik. Apa lagi kalau Abduh berharap kepada pengaruh ayahnya, itu satu keyakinan yang silap. Memang Tok Guru gah seluruh Kelantan dan negara. Tetapi tidak bermakna orang menyenang dan menyokong ayah kita, mereka juga akan menyokong kita. Di antara Nik Abduh dan Nik Aziz masih jauh berbeza. Jadi kepada Abduh mulai sekarang mesrailah Kelantan biar rakyat jelira dengan kehadiran kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan