PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 3 April 2012

Surat pekeliling kelirukan peneroka
Wartawan Sinar Harian
3 April 2012
Surat pekeliling kelirukan peneroka

GERIK - Surat pekeliling yang dihantar pihak pengurusan meminta peneroka di tiga penempatan Felda, di sini untuk menyerahkan beberapa dokumen penting menimbulkan kekeliruan dan rasa sangsi penduduk.

Menerusi pekeliling dihantar, peneroka diminta menyerahkan salinan MyKad, geran ladang dan rumah, maklumat pentadbir tanah, maklumat anak-anak, status bank, salinan akaun bank serta nombor keahlian Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Bimbang dengan keadaan itu, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, Khamis lalu bagi mendesak satu siasatan terperinci dibuat berkaitan ‘permintaan’ berkenaan.

Wakil peneroka, Abu Hassan Khatib, 62 berkata, laporan polis berkenaan menamakan beberapa pihak yang terlibat secara langsung dan tindak langsung terhadap surat perkeliling itu untuk disiasat.

Menurutnya, peneroka berasa dukacita disogokkan dengan gambaran akan mendapat durian runtuh dalam bentuk saham dan wang tunai melalui pekeliling itu.

“Peneroka terpedaya dengan gambaran itu dan menuruti semua kehendak pengurusan tanpa memikirkan risiko apabila dokumen yang sangat penting seperti geran hak milik diberikan.

“Penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia masih samar-samar ekoran EGM KPF pada 22 Februari yang lalu dibatalkan sedangkan durian runtuh itu masih tidak jelas apabila disenaraikan,” katanya ketika ditemui di IPD Gerik, di sini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Lajnah Pem­bangunan Tanah dan Wilayah Pas Pusat, Razman Zakaria dan Ketua Lajnah Kebajikan, Hatta Abd Aziz.Kata Abu Hassan, keadaan itu menyebabkan sebahagian warga Felda keliru dengan pekeliling tersebut.

Jelasnya, sehingga hari ini tidak ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan pegawai tertinggi Felda, justeru polis diminta menyiasat sejauh mana kebenaran pekeliling tersebut.

Dalam perkembangan sama, Razman berkata, pihaknya menyokong tindakan warga Felda membuat laporan polis supaya siasatan dibuat kerana semua dokumen penting yang diminta boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

“Saya juga mendesak pekeliling berkenaan ditarik balik dengan segera oleh Felda,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan