PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 22 Februari 2011

Banyak cara selesai kemelut, bukan guna peluru
Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 23 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Libya bagi membantah kekejaman pemerintah negara itu membunuh rakyat sendiri berdemonstrasi anti kerajaan.

Penyerahan diketuai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abd Rani diiringi Setiausaha, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Bendahari, Mohd Adram Musa, Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah, Suhaimi Abd Aziz dan yang lain.

Memorandum diserahkan kepada wakil kedutaan itu kira-kira jam 11.05 pagi di hadapan pintu masuk ke bangunan itu dengan dikawal anggota FRU.

Azman pada sidang media selepas itu berkata, pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam kerajaan pimpinan Muammar Gaddafi.

"Kita yakin banyak lagi cara lain untuk menyelesaikan kemelut politik Libya selain menggunakan peluru dan bom yang membunuh rakyat negara itu.

"Kita pemuda PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu," katanya.

Pada masa sama, satu kumpulan rakyat Libya turut mengadakan bantahan di luar bangunan kedutaan.

Kumpulan terdiri dari 100 orang itu melaungkan selogan 'Free Libya', 'Down Gaddafi', 'Gaddafi Go To Hell' sambil membawa gambar rakyat mereka yang terkorban dan pelbagai sepanduk menghentam kekejaman kerajaan negara mereka itu.

Sehingga hari ini dilaporkan lebih 500 orang telah terbunuh dalam bantahan anti kerajaan di negara itu.

Keadaan bertambah buruk selepas kumpulan anti kerajaan bertembung dengan kumpulan pro kerajaan.

Turut difahamkan, angka kematian akan terus meningkat ekoran tindakan kerajaan itu yang menggunakan bom dan peluru yang dilepaskan dari helikopter ke atas himpunan.

Gaddafi ketika bercakap di televisyen semalam menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan meskipun berhadapan dengan kebangkitan rakyat, secara besar-besaran yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Beliau dengan angkuh mendakwa pemuda yang menyertai demonstrasi itu sebagai sebagai “tikus dan askar upahan”, yang mahu menjadikan Libya sebagai negara Islam.

Sementara itu, PAS akan mengadakan himpunan aman di kedutaan sama selepas solat Jumaat, 25 Februari ini.

Himpunan anjuran Lajnah Antarabangsa PAS dengan kerjasama beberapa NGO itu akan diketuai Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Mohammad Sabu dan beberapa kepimpinan lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan