PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 19 Februari 2011

Mukhriz sebenarnya 'ludah' BN Perak
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Feb: Pemuda PAS Perak mendakwa Umno 'mudah lupa' ekoran menghentam tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mewujudkan portfolio hal ehwal bukan Islam di negeri itu.

Timbalan Ketuanya, Mohd Munir Ali berkata, Umno sepatutnya sedar, merekalah terlebih dahulu mewujudkan potfolio itu di Perak selepas negeri itu diambil alih BN dan diterajui Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Sedang pada hakikatnya, setelah rampasan kuasa oleh Umno Barisan Nasional di negeri Perak, kepimpinan Umno BN Perak di bawah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang sebenarnya telah terlebih dahulu mewujudkan portfolio yang sama di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Perak.

"Jawatan potfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam tersebut dipegang oleh seorang wakil tunggal MCA iaitu Datuk Mah Hang Soon. Tidak pula ianya dijadikan isu oleh Umno dan tidak pula Umno mengatakan bahawa taktik yang sama untuk menarik undi rakyat?" soalnya.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, amat jelas bahawa Umno BN mengamalkan 'double standard' dalam memberikan persepsi yang buruk terhadap musuh politik mereka dan mudah melupakan keburukan sendiri yang telah mereka lakukan.

Semalam, Mukhriz yang juga timbalan pengerusi Umno Kedah dilaporkan berkata penubuhan portfolio baru itu taktik DAP untuk menarik undi rakyat.

Sehubungan itu, Munir mahu BN Perak menyatakan pendirian ataupun membidas kritikan yang telah dilemparkan oleh Mukhriz terhadap kerajaan Pulau Pinang kerana kritikan tersebut juga terkena kepada kerajaan negeri Perak di bawah BN yang telah menubuhkan portfolio yang sama.

"Adalah tidak adil tindakan Datuk Mukhriz yang tidak mencemuh perkara yang sama berlaku di Perak hanya kerana ianya di bawah pemerintahan BN dan cuma menjadikan mana-mana kerajaan negeri di bawah PR sebagai sasaran serangan politik busuk mereka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan