PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Rabu, 23 Februari 2011

Hajjah Ilani Isahak meninggal dunia
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Bekas anggota Parlimen Kota Bharu, Hajjah Ilani Isahak (gambar - Themalaysianinsider) meninggal dunia jam 6.05 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas sekian lama diwadkan kerana kanser payu dara.

Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Antara Agama Kebangsaan telah dimasukkan ke HUKM selepas dikesan mengidap kanser payudara tahap ketiga beberapa bulan lalu.

Ketika dikunjungi Harakahdaily Isnin lepas, Hajjah Ilani, menjelang umurnya 58 tahun bulan depan, sudah agak sihat dan boleh duduk di atas kerusi selepas beberapa hari terlantar di atas katil wad pengawasan tinggi itu.

Namun, beliau sudah tidak berapa bercakap berbanding karektor asal beliau dan hanya melemparkan senyuman kepada para tetamunya.

"Maaflah kurang bercakap," kata Hajjah Ilani kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang menziarahi beliau ketika itu.

Adik beliau, Dr Amir Farid juga berada di sisinya ketika itu.

"Tak apalah, dia sudah banyak sangat bercakap sebagai ahli politik sebelum ini," kata Dr Amir bergurau tentang kakaknya itu kepada Datuk Mustafa.

"Kami menjaga ibu secara bergilir-gilir," kata anak sulungnya kepada Harakahdaily.

Hajjah Ilani adalah antara anggota Parlimen popular apabila menang di Kota Bharu dalam pilihan raya umum 1990. Ketika itu beliau bersama Tengku Razaleigh Hamzah dalam Parti Melayu Semangat 46.

Jenazah beliau akan dibawa ke rumahnya di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail tengahari ini dan dijangka akan dikebumikan tengahari ini juga.

Sementara itu, PAS mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah di atas perginya Hajjah Ilani.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau kenal dengan Hajjah Ilani sejak sekian lama termasuk kenal rapat dengan keluarga beliau khasnya Dr Amir Farid.

"Takziah kepada keluarganya, alhamdulillah sempat ziarah beliau ketika di hospital. Kita tidak boleh melawan takdir dan harap semua keluarganya bersabar menerimanya," kata Mustafa.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail juga mengucapkan takziah kepada keluarga Hajjah Ilani.

"Al-Fatihah, Datuk Ilani Ishak meninggal dunia dan takziah kepada keluarga allahyarhamah. Moga ruh dicucuri rahmat," kata Wan Azizah melalui Twitternya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan