Zaid Zakaria: Pakatan sudah sedia hadapi PRU 13 |
Zaid Zakaria |
PAS baru sahaja selesai mengadakan konvensyen mengenai isu Melayu untuk menyatakan janji tidak mengabaikan kepentingan Melayu dalam perjuangan politiknya. Perhimpunan yang diadakan di Shah Alam, Selangor itu memberi isyarat kepada orang Melayu bahawa PAS tidak mengabaikan orang Melayu seperti didakwa oleh seteru utamanya Umno. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebut dengan tegas tentang pegangan PAS dalam hal Melayu. Pada masa yang sama, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan dengan tegas bahawa masa depan orang Melayu ialah dengan menyokong perjuangan Islam, dan bukan terpedaya dengan fahaman ketuanan Melayu seperti dibawa Umno. Pada masa yang sama, Pemuda PAS mengadakan perhimpunan di Kota Sarang Semut, Kedah, sebagai perhimpunan menegaskan semangat perjuangan dalam menuju ke Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka tahun ini. Dengan tekad mempertahankan negeri Kedah yang dikuasai Pakatan Rakyat, Pemuda PAS sudah memulakan momentum untuk diteruskan bagi menghadapi pilihan raya. Parti Keadilan Rakyat, PKR, pula telah membina momentum melalui cetusan semangat revolusi di dunia Arab yang sedang menyaksikan satu persatu domino mula tumbang. Melalui ucapan-ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas kejatuhan diktator di Tunisia dan Mesir dan masa depan demokrasi di Asia Barat, sentimen yang sama dapat dicetuskan di sini. Menurut Anwar dalam satu ucapannya, Mesir dan Malaysia mempunyai persamaan dari segi sistem yang dikuasai elit pemerintah. Dalam satu ucapannya, Anwar mengutuk tindakan diktator-diktator terbabit yang melarikan harta berbilion dolar Amerika Syarikat sedang pada masa sama ramai rakyat yang menderita. Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, apa yang berlaku jauh beribu batu boleh sampai ke depan masa dalam masa sesaat. Maklumat yang diperolehi boleh menyentuh sentimen rakyat di negara ini yang berdepan masalahnya sendiri yang merasakan tidak diendahkan oleh pemerintah. DAP, satu lagi anggota PR kelihatan terus kukuh, sama ada di Pulau Pinang yang menjadi tonggak kekuatannya mahupun di negeri-negeri lain. Parti ini juga merupakan parti yang tidak tewas dalam pilihan raya kecil sejak Pilihan Raya Umum ke-12, malah memenangi kerusi Sibu pada Mei lalu. Apa yang berlaku di Asia Barat mungkin dianggap sesetengah pihak sebagai tidak ada kena-mengena, dan realiti di sana dengan di negara ini berbeza. Tetapi sekurang-kurangnya tumbangnya pemimpin zalim di Tunisia dan Mesir mampu menyampaikan isyarat kepada rakyat di negara ini bahawa perubahan bukan sesuatu yang mustahil. Walaupun tidak dengan apa yang disaksikan di Asia Barat, tidak ada apa yang menghalang rakyat negara ini membuat perubahan melalui peti undi. PR sendiri tentu tidak mahu melihat suasana seperti di Asia Barat itu berlaku di negara ini sehingga menyebabkan timbul suasana yang tidak menentu, selagi masih banyak ruang perubahan boleh dimanfaatkan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan