PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 18 Mac 2012

Berniaga dengan Yahudi Israel, sekongkol Zionis

Harakahdaily, 18 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Bersependapat dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Mohamad Sabu mengingatkan bahawa berniaga dengan Yahudi biasa adalah berbeza dengan Yahudi dari negara haram Israel, kerana rakyat negara tersebut berfahaman Zionis.

“Muamalah dengan orang Yahudi tak ada masalah. Rakyat di negara haram Israel berfahaman Zionis, maka berniaga dengan Yahudi dari Israel bererti bersekongkol dengan Zionis. Orang Yahudi bukan rakyat negara Israel boleh bermuamalah,” kata Mohamad Sabu pada satu smsnya kepada Harakahdaily.

Dua malam lalu, ketika satu majlis makan malam bersama pemimpin anjuran Dewan Muslimat PAS Pusat, Abdul Hadi menerangkan bahawa Yahudi terbahagi kepada dua, satu Yahudi dan satu Zionis.

“Satu bangsa dan satu lagi kefahaman. Walaupun boleh berniaga dengan Yahudi, tetapi Pas tetap menentang sekeras-kerasnya (aktiviti) berniaga dengan Zionis,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi berkata sedemikian sebagai menjawab soalan yang diajukan kepada beliau berhubung proses perhubungan antara kerajaan Pas ataupun pakatan pembangkang untuk memisahkan hubungan perniagaan dengan bangsa Yahudi sekiranya menguasai kerajaan persekutuan suatu hari nanti.

Abdul Hadi berkata ia dibolehkan kerana Nabi Muhammad SAW juga pernah berurusan dalam perniagaan dengan bangsa itu ketika berada di Madinah, namun ia hanya terhad kepada kepada kaum Yahudi sahaja dan bukannya dengan mereka yang berfahaman Zionis.

Dalam konflik Israel-Palestine, Abdul Hadi bersama Mohamad dan juga Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat terdahulu telah sebulat suara menolak formula penyelesaian dua negara dan sebarang pengiktirafan kepada Israel, yang mendapat tanahnya secara kejam dan pembunuhan dan mengusir rakyat Palestine keluar daripada negara mereka.

"Kalau dua negara ini perang tidak akan selesai, kita mahukan negara Palestin yang orang Islam, Yahudi dan Kristian hidup bersama harmoni seperti negara Islam Madinah dahulu," tegas Abdul Hadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan