PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 13 Mac 2012

Sarung tangan putih diedar kepada ahli parlimen

Hazayani Zakaria, 13 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 13 Mac: Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Wanita Suara Perubahan hari ini mengedarkan sarung tangan putih kepada Ahli Parlimen sebagai simbolik tuntutan kerajaan yang bersih.

Edaran sarung tangan putih itu juga bagi mewarwarkan dan mengajak ahli parlimen khususnya ahli parlimen wanita menyertai himpunan 10,000 wanita pada 18 Mac ini.

Mereka mengedarkan sarung tangan putih kepada ahli parlimen di lobi Dewan Rakyat, termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap pada sidang media selepas itu, jurucakap Wanita Suara Perubahan, Nazreen Azam berkata, mereka akan berkumpul di dua tempat iaitu di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14 dan Tasik Taman Jaya, Seksyen 10 Petaling Jaya sebelum berarak ke Padang Astaka, Petaling Jaya.

Himpunan tersebut bagi menyuarakan enam tuntutan mereka iaitu mansuhkan akta perhimpunan awam 2011, kerajaan yang bebas daripada rasuah, gaji yang berpatutan, hentikan keganasan terhadap wanita, pilihan raya yang bersih dan adil dan kualiti hidup yang lebih baik.

"Wanita Suara Perubahan menyeru semua pengundi wanita untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya umum ke-13 dan memilih pemimpin-pemimpin yang berkelayakan sebagai wakil rakyat yang menerima dan akan memenuhi tuntutan-tuntutan kami," katanya.

Sidang media tersebut turut disertai Ahli Parlimen Wanita Pakatan Rakyat antaranya Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang), Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang), Teo Nee Ching (DAP-Serdang).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan