PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 23 Mac 2012

PAS Perak bongkar tanah di Lenggong diceroboh

Muhammad Faeez, 23 Mac 2012

IPOH, 23 Mac: PAS Perak hari ini membuat pembongkaran tentang pencerobohan tanah yang berlaku di Lenggong.

Penyewengan tanah itu berlaku di sebuah bukit yang dahulunya menjadi tapak penamaman teh jenama Teh Lenggong yang terkenal pada awal tahun 80-an.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, lawatan dan tinjauan Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Negeri serta rombongan baru-baru ini mendapati sudah tiada sebarang aktiviti menanam teh di atas bukit tersebut dan hanya dapat dilihat rangka bangunan kilang Teh Lenggong yang telah usang.

Menurutnya, seluruh kawasan ladang teh kira-kira seluas 700 ekar telah digondolkan dan difahamkan oleh individu yang berada di situ, tanah tersebut telah diserahkan kepada satu syarikat perladangan milik persendirian yang sekarang giat menjalankan aktiviti penanaman sejenis pokok untuk industri kertas iaitu pokok ‘eucalyptus’.

“Melalui penyelidikan kami, difahamkan pokok jenis ini telah diharamkan penanamannya di beberapa buah negara seperti Brazil, Australia dan India,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini.

Beliau mempersoalkan, apakah sebab penutupan ladang tersebut dan berapakah kerugian yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri Perak.

“Bagaimana tanah ladang Teh Lenggong yang dahulunya dikatakan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dilepaskan kepada syarikat persendirian,” ujarnya.

Tambahnya, tinjauannya juga mendapati bukan sahaja tanah ladang teh yang diteroka malah hampir keseluruhan tanah persekitaran anggaran lebih 1,000 ekar yang mempunyai hasil balak telah digondolkan.

“Adakah kerajaan negeri mendapat hasil hutan balak daripada tanah yang diteroka tersebut?” tanya beliau

Beliau juga hairan bagaimana pihak berkuasa seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar dan Pejabat Tanah Daerah membenarkan spesis pokok yang diharamkan di beberapa buah negara ditanam di kawasan itu kerana difahamkan ianya boleh mengganggu sistem arkeologi seterusnya memberi kesan yang buruk kepada penduduk Lenggong.

“Pencerobohan tanah ini juga penyumbang kepada banjir teruk yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan banyak kampung berdekatan bukit tersebut ditenggelami air,” jelasnya.

Oleh yang demikian, beliau yang juga Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra Kebangsaan (Bapa) memohon Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Kadir memberikan penjelasan tentang isu itu.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Setiausaha PAS Negeri, Dr Muhaimin Sulam dan Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Nuri Al-Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan