PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 17 Mac 2012

HI-TEA BERSAMA USTAZ IDRIS AHMAD

LENGGONG - Ketua Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ada dua mata yang tidak dibakar api neraka, pertama mata yang berjaga malam untuk berjuang menegakkan agama Allah dan yang kedua mata orang yang berjaga malam beribadat kepada Allah.
Katanya, mata orang yang berjaga malam untuk menegakkan agama Allah tidak dibakar api neraka kerana mereka mempertahankan agama Allah daripada dihancurkan oleh musuh-musuh Allah.
"Oleh sebab itu saya yakin kita berjaga untuk berjuang menegakkan agama Allah bukan kerana hendak merebut dunia, tetapi kerana hendak mendapat kemenangan di Akhirat kelak," katanya ketika berucap dalam majlis Hi-Tea di Markaz PAS Padang Kunyit hari ini.
Hadir sama pada majlis sempena Program Konvoi anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat peringkat negeri Perak, Timbalan Pesuruh Jaya 3, PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria
Ustaz Idris berkata, itu matlamat utama kita, matlamat kedua kita adalah untuk menang kerana semua gerak kerja kita sekarang ini adalah kerja untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Katanya, PRU-13 adalah masa yang terbaik untuk kita, PAS khususnya dan Pakatan Rakyat amnya, melangkah ke Putra Jaya, oleh sebab itu kerja keras kita mesti kita juruskan untuk menang dalam pilihan raya nanti.
Dalam isu Perak, katanya tohmahan Umno mengatakan PAS menjadi kuda tunggangan DAP adalah silap sama sekali dan orang-orang PAS perlu menguasai isu ini supaya dapat dijelaskan kepada orang Melayu.
Dalam isu Hudud misalnya, terbukti PAS tidak tunduk kepada DAP apabila Kelantan meneruskan hasrat untuk melaksanakannya.
Katanya, MCA menentang keras pelaksanaan Hudud, sebaliknya DAP, walaupun tidak menyokong tetapi menghormati keputusan PAS sebab Hudud adalah hak orang Islam.
Mengulas mengenai isu Datuk Dr Hassan Ali, secara bergurau beliau berkata, Hassan Ali kata PAS sudah tergelincir daripada landasan sebenar; beliau kata kita baru 'tergelincir', tetapi beliau (Hassan) sudah masuk gaung.
"Tergelincir, masih boleh naik semula, dia jatuh gaung, kalau orang tak angkat mati keringlah..." katanya disambut gelak ketawa hadirin.
Ustaz Idris berkata lagi, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kepada rakyat akan ditarik semula melalui kenaikan cukai prepaid, kenaikan harga minyak dan sebagainya.
Katanya, dia beri BR1M adalah kerana Pakatan Rakyat kuat, kalau Pakatan Rakyat tidak kuat sudah tentu dia tidak akan beri bantuan seperti itu kepada rakyat.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan, Haji Razman berkata, Najib semakin bermasalah untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berikutan semakin banyak isu yang menghimpit mereka.
Katanya, pemilihan dalam Umno sendiri yang sepatutnya pada tahun ini (tundaan tahun lalu) mungkin terpaksa ditangguh lagi, kerana bimbang perpecahan dalaman akan menyebabkan terjejas peluang Barisan Nasional untuk menang PRU-13.
Mengenai isu Felda Global Vantures Berhad (FGVB), beliau terus mengulangi pemimpin-pemimpin Umno supaya tidak mengelirukan warga Felda dengan umpan yang sedikit, sebaliknya akan menggadai masa depan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan