PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 3 November 2012

Halang: Anak batal program di Felda Lasah

Muhammad Faizal, 03 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membatalkan program Konvoi Oren Selamatkan Felda Lasah, Sungai Siput bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.


Pengerusi Anak, Mazlan Aliman yang ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu beliau dan rombongan telah membatalkan program di Felda Lasah apabila melihat suasana yang sudah tidak terkawal.

"Sekarang konvoi telah keluar dari Felda Lasah dan sebentar tadi lebih sejam kita dihalang oleh sekumpulan pemuda yang bertindak samseng serta bersikap agresif terhadap konvoi Oren.

"Mereka telah menghalang konvoi Oren dari memasuki Felda Lasah dan dianggarkan lebih kurang 100 orang pemuda," jelasnya.

Menurut beliau lagi yang sekarang dalam perjalanan ke Felda Ijok memberitahu satu laporan polis akan dibuat setelah selesai segala program konvoi Oren Selamatkan Felda.

"Saya akan membuat laporan polis setelah selesai program yang telah dirancangkan ini, dan kita mahu pihak polis bertindak tegas atas tindakan samseng sekumpulan pemuda itu.

"Apa yang saya ketahui tedapat kamera milik peserta konvoi telah dimusnahkan dan dicuri, namun tiada kecederaan berlaku," sambungnya.

Beliau yang menjangkakan provokasi dan tindakan agresif itu dilakukan oleh Umno apabila melihat kepada pakaian dan bendera Barisan Nasional yang dibawa oleh sekumpulan pemuda tersebut.

Tambahnya lagi, beliau juga turut mendapat maklumat bahawa perseta konvoi ini akan turut dihalang memasuk Felda Ijok dan Felda Sungai Tengi.

"Maklumat telah kita perolehi dan dimaklumkan anggota Rela digunakan bagi menghalang kami memasuki Felda Sungai Tengi dan juga Ijok.

"Konvoi ini aman bukan untuk membuat kacau, kami hadir untuk memberi penerangan terhadap peneroka Felda dan kenapa perlu bertindak samseng," tegas beliau.

Sebelum itu, Anak bersama 20 buah kenderaan melalui program konvoi Oren selamatkan Felda telah tiba di Felda Lasah namun dihalang oleh sekumpulan pemuda di pintu masuk Felda tersebut.

Mazlan yang menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama-sama dengan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria telah ditarik keluar dari kenderaan tersebut dan ditolak dengan kasar oleh pemuda-pemuda yang menghalang mereka.

Selain itu juga terdapat banner dan kain rentang dengan tulisan mencaci Mazlan secara peribadi selain makin hamun.

Terdapat 10 orang anggota polis berada di tempat kejadian yang cuba mengawal keadaan namun gagal meredakan keadaan.

Kehadiran 15 anggota Unit Amal diketuai Pengarah Amal Negeri Perak, Arif Muhammad serta Unit Keselamatan Pimpinan (UKP) seramai 8 orang berjaya menangani suasana provokatif yang dilakukan sekumpulan pemuda yang dipercayai penyokong Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan