PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 2 November 2012

Penjelasan Dr. Badrul Amin Berkenaan Penahanannya Oleh JAIS


KUALA LUMPUR, 2 Nov — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr Badrulamin Bahron yang turut ditahan dalam serbuan terhadap konsert didakwa cubaan menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam hari ini menegaskan hanya hadir sebagai tetamu jemputan syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd, dan bukannya Al-Arqam.

Dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Badrulamin menjelaskan, keluarganya merupakan pelanggan Global Ikhwan dan pihaknya menerima jemputan untuk menghadiri majlis tersebut secara umum, dan bukannya atas jemputan khusus.

“Jemputan hanya bersifat umum dan tiada jemputan khusus untuk saya ... saya datang bersama isteri dan anak-anak untuk makan sambil menikmati persembahan kesenian Islam dan bersantai.

“Saya diletakkan di meja tamu sebab rasa hormat mereka, dan memang khemah lain tiada meja pun ... ahli jemaah (Global) Ikhwan mengenali saya dan isteri kerana (kami) sering membeli keperluan dapur di pasaraya Ikhwan ... ia menyediakan produk makanan buatan orang Islam,” kata Badrulamin kepada The Malaysian Insider.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia hari ini menyebut Badrulamin antara tetamu kehormat sempena sambutan ulang tahun kelahiran pengasas ajaran sesat tersebut, Ashaari Muhammad, atau lebih dikenali sebagai Abuya.

Akhbar berkenaan turut menyebut serbuan yang dilakukan Jais kira-kira jam 10 malam di Bandar Country Homes, Rawang itu bertemakan “Abuya Terus Memimpin Walaupun Ghaib” turut dihadiri kira-kira 3,500 orang.

Jurucakap Jais berkata,”konsert ini didapati melanggar arahan mufti di bawah Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu membantu menghidupkan Al-Arqam.”

Badrulamin turut menafikan sebarang penglibatan dirinya dengan Al-Arqam dan Global Ikhwan, malah menafikan mempunyai sebarang jawatan dalam pertubuhan tersebut.

“Saya langsung tiada kaitan apa-apa dengan organisasi Ikhwan, jauh sekali dari memegang sebarang jawatan.

“Kehadiran saya tidak ada sebarang agenda peribadi mahupun politik,” katanya lagi. Al-Arqam telah diharamkan di negara ini pada 1994.

Selepas kematian pengasasnya pada 2010, pengikut ajaran sesat ini pernah mengadakan konsert selama empat hari dan menggambarkan Abuya bukan meninggal dunia, sebaliknya hanya “ghaib” dan akan kembali dalam masa terdekat. ~themalaysianinsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan