PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 2 November 2012

Moral remaja semakin parah

Oleh Dr Aminudin Mansor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MASALAH seks yang melanda kalangan remaja di negara ini tidak dapat dielakkan lagi. Saban waktu, pasti kita dengar dan baca pelbagai kes membabitkan pelacuran, seks bebas, pergaulan bebas dan jenayah seks.
Ini sebenarnya mengheret manusia jauh daripada peradaban dan menjauhkan mereka dengan agama. Apapun, manusia harus kembali kepada peradaban dan ajaran agama. Hanya peradaban dan agama dapat membentuk nilai kemanusiaan yang semakin pupus dalam hati dan jiwa manusia pada masa kini.

Laporan Kesihatan Seksualiti dan Reproduktif Remaja pada tahun 2003 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan sedikit sebanyak mampu menggambarkan sejauh mana seriusnya gejala seks di kalangan remaja di negara ini.
Merujuk kepada kes rogol saja, 63 peratus mangsa adalah golongan remaja dan 9.4 peratus daripada jumlah pemangsa juga remaja.

Sementara bagi kes pelacuran membabitkan remaja, sebahagian besar pelacur terdiri daripada remaja berusia 15 hingga 17 tahun.

Namun begitu, tidak kurang juga pembabitan remaja berusia 12 hingga 14 tahun iaitu 13.1 peratus. Kes bersabit penzinaan pula membabitkan individu yang masih di peringkat awal iaitu sekitar usia 10 tahun.
Tentulah amat membimbangkan namun maklumat yang didedahkan ini hanya sebilangan kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku dalam negara ini.

Bagaimanapun, ia memberi gambaran kepada kita betapa parah dan betapa goyahnya nilai agama, moral dan akhlak generasi hari ini.
Justeru, usaha yang lebih efektif perlu dilakukan untuk mengatasi permasalahan terbabit.

Memetik laporan Bernama, menurut Pakar Sakit Puan, Profesor Dr Ismail Thambi, remaja yang aktif melakukan hubungan seks bebas terdedah kepada risiko menghadapi masalah kesuburan apabila berkahwin.

Katanya, biasanya kegagalan organ pembiakan berpunca daripada jangkitan kuman, kulat dan virus akibat daripada hubungan seksual yang tidak bersih dan berbilang pasangan.

Menurutnya, banyak pasangan yang gagal mendapat zuriat datang kepadanya dan apabila diperiksa, sebilangan daripada mereka dijangkiti kuman dan virus akibat hubungan seksual bebas yang kerap sebelum kahwin.

Ada juga beberapa individu kecewa apabila mendapat tahu bahawa pasangan mereka pernah terjebak dalam hubungan tidak sihat itu.

Oleh itu, ibu bapa dan setiap ahli masyarakat mestilah prihatin terhadap anak remaja mereka mengenai kepentingan pendidikan seks untuk generasi muda hari ini.

Pendidikan seks yang betul dan penuh bijaksana dapat membantu anak lebih bersedia menghadapi saat menjelang akil baligh. Dedahkan mereka dengan perubahan yang berlaku dalam diri, perkembangan dan kepentingan memelihara kebersihan serta kesucian alat kelamin.

Seperti diketahui umum, pendidikan seks adalah bagi membentuk generasi dengan penuh kehormatan diri dan mampu mengendali diri daripada penyimpangan seksual. Peranan ini dapat dilakukan oleh ibu bapa, guru, media, dan badan lain dalam masyarakat.

Pendidikan seks bagi anak Muslim khususnya ke arah pencegahan kepada penyimpangan seksual. Selain itu, memberi maklumat kepada anak bagi memahami diri dan perubahan yang dialami dengan mengawal dorongan seks yang tidak terarah.

Terdapat beberapa perkara tidak sesuai diajarkan kepada anak yang baru mencapai mumaiyiz. Ia dikhuatiri boleh membawa kerosakan jiwa kerana emosinya belum cukup matang. Ajarkanlah perkara asas yang digariskan dalam Islam.

Didiklah anak berhubung bahaya zina yang dianggap perbuatan tidak bermoral, baik dari segi agama mahupun etika kemasyarakatan.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Apabila riba dan zina sudah berleluasa di sesuatu tempat, maka mereka sudah menghalalkan diri mereka untuk mendapat seksaan Allah.” (Riwayat al-Hakim dan Abu Ya’la).

Kes pembuangan bayi adalah rentetan daripada perbuatan zina iaitu seks bebas sebelum berkahwin. Perbuatan ini sangat dilaknat oleh Allah. Justeru, setiap ibu bapa dan ahli masyarakat sewajarnya tidak berdiam diri dalam usaha membanteras kes dan gejala yang tidak baik ini.

Selanjutnya, Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berzina atau minum arak nescaya Allah mencabut imannya seperti seseorang yang menanggalkan bajunya daripada bahagian kepala.” (Riwayat al-Hakim).

Konsep pendidikan seks menurut Islam dilengkapi dengan pengetahuan secara teori, hukum fikah dalam pelbagai aspek semuanya diterangkan dalam kitab suci al-Quran dan hadis.

Nabi menjelaskan dalam sabda baginda: “Wahai setiap pemuda, barang siapa yang mampu memikul beban keluarga hendaklah kahwin. Sesungguhnya perkahwinan ini lebih dapat meredam gejolak mata dan nafsu syahwat, tetapi barang siapa yang belum mampu hendaklah dia berpuasa kerana (puasa itu) benteng (penjagaan) baginya.” (Riwayat Al Bukhari).

Pendidikan seks bagi anak Muslim mestilah bersandar kepada ajaran Allah dengan menekankan aspek kemuliaan, kehormatan, dan kesucian manusia serta batasan aurat. Ia dilakukan bersepadu antara kaedah dan hukum secara kesinambungan.

Pendidikan juga mestilah disampaikan secara jelas dan tidak berselindung bagi mengelakkan salah tafsiran, andaian dan pemahaman seks serta perkara berkaitan dengannya. Penyampaian secara ilmiah dan menerapkan nilai agama dapat membantu remaja memahami kebaikan perkahwinan.

Mestilah dilakukan secara beransur-ansur mengikut tahap, kesesuaian usia, daripada peringkat kanak-kanak hingga remaja.

Bimbingan secara berhikmah akan dapat memberikan penerangan yang jelas bahawa perkahwinan yang sah dan halal akan melahirkan zuriat cemerlang sebagai kesinambungan hidup manusia pada zaman akan datang.

Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan