21 September, 2012(Gambar) Ribuan Hadiri Himpunan Bantah Filem Hina Nabi Di Kedutaan AS
Posted by Addin at 9/21/2012
KUALA LUMPUR - Ribuan umat Islam hari ini menyertai himpunan di Hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara bagi membantah penerbitan filem "Innocence of Muslims" yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Himpunan yang diberi nama "Expresi Hijau Kasih Nabi" anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji sebelum berarak menuju ke bagunan kedutaan kira-kira 200 meter dari masjid tersebut.
Dianggarkan hampir 5,000 menyertai himpunan ini termasuk dari kalangan muslimat, mahasiswa dan umat Islam perihatin.
Antara yang berada di barisan hadapan perarakan ini termasuklah Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasruddin Hassan, Naib Presiden PKR Tian Chua dan Nurul Izzah Anwar.
Mereka juga menggunakan lori sebagai pentas bergerak di samping beberapa pimpinan di atasnya menyampaikan ucapan.
Sepanjang perarakan mereka melaungkan slogan 'hancur Amerika, hidup Islam, kami sayang nabi' sambil membawa poster dan kain rentang mengecam tindakan biadap penerbit filem berbangsa Yahudi, Sam Bacile itu.
Perarakan ini turut dikawal pasukan Unit Amal Dewan Pemuda PAS Pusat sementara lebih 200 anggota polis berkawal di hadapan bangunan kedutaan.
Salahuddin dalam ucapannya mendesak Presiden Amerika Barack Obama memohon maaf kepada seluruh umat Islam di atas penghinaan yang dibuat penerbit filem Amerika itu.
"Kita orang Islam hormat agama lain. Kita hormat Yahudi, Budha, Sikh dan sebagainya. Oleh itu kita minta Amerika memohon maaf kepada umat Islam.
"Jangan hina nabi kami, kelak akan mengundang padah. Kami sayangkan nabi dan agama kami. Kita rela pertahankan dalam apa juga keadaan," katanya disambut laungan hidup Islam oleh para hadirin.
Sementara itu, Tian Chua dalam ucapannya berkata, mewakili kaum Cina beliau kesal dengan tindakan penghinaan terhadap agama Islam.
Beliau juga mendakwa isu ini bukan isu agama Islam semata-mata malah juga berkait dengan isu kemanusiaan sejagat.
"Kita perlu tunjukkan semangat setiakawan. Penghinaan ini harus dihentikan dan Amerika perlu ambil tindakan segera.
"Kita tidak mahu berlaku pertembungan antara agama," ujarnya.
Sementara itu, Nasrudin Hassan bersama Tian Chua dilihat masuk bertemu dengan wakil kedutaan.
Sementara menunggu pertemuan dengan wakil kedutaan selesai, pidato di luar pagar bangunan kedutaan diteruskan.
Antara yang berucap termasuklah Timbalan Ketua DPPM, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad, dan Naib Presiden PKR N Surendran.
Enggan bertemu
Nasruddin ketika bercakap kepada media selepas keluar dari bangunan itu berkata, pihaknya kesal dengan layanan wakil kedutaan yang enggan bertemu dengan pihaknya untuk menerima memorandum.
Menurutnya, tiada wakil pejabat kedutaan yang turun melainkan hanya menghantar pengawal keselamtan dan ianya sekali lagi menunjukkan sikap biadap negara itu.
"Ini adalah penghinaan berpanjangan. Dahulu Denmark telah menghina nabi dan sekarang berulang lagi.
"Mereka tidak boleh menghina agama laian walaupun mereka berkuasa. Kita tidak akan benar apa jua bentuk terhadap agama Islam ataupun agama-agama lain," katanya.
Beliau juga mengumumkan himpunan serupa akan diadakan di seluruh negara pada Jumaat akan datang beserta munajat perdana bagi menyatakan kecintaan pada nabi.
Sementara itu, sekumpulan peserta himpunan dilihat turut membakar kain rentang yang bercetak bendera amerika dan Israel sebagai tanda bantahan.
Himpunan tersebut kemudiannya selesai dan bersurai kira-kira jam 3.20 petang.
Pada
Sabtu ini, saya Insya-Allah akan membentangkan kertas dalam Konvensyen
Fiqh Politik Islam Semasa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIA), Gombak.
Tajuk yang diberikan kepada saya ialah "Mentaati Pemerintah: Antara Literal dan Maqasid".
Oleh
kerana penyertaan ke konvensyen itu terhad, maka saya ingin berkongsi
sedikit di ruangan yang terhad ini mengenai tajuk tersebut.
Mentaati
pemerintah ini termasuk dalam fikah siasah iaitu fikah Islam yang
berkaitan dengan imarah, imamah ataupun kepimpinan dalam Islam.
Perbezaan
pandangan dalam hal ini, bukanlah masalah akidah. Saya sebutkan ini
kerana ada golongan muda agama politik tertentu yang menganggap isu ini
isu akidah.
Dalam erti kata lain, sesiapa yang tidak taat kepada
kerajaan bererti rosak akidahnya. Ini tidak tepat. Al-Imam Ibn ‘Ashur
ketika menyebut tentang sebab-sebab perpecahan:
"Kelima:
memasukkan ke dalam tauhid perkara-perkara yang bukan daripadanya.
Tujuan untuk membesarkannya pada mata orang awam seperti masalah
khilafiyyah, tentang keluar menentang penguasa, mengenai mengikut salah
satu imam mazhab yang empat...." (Muhammad Tahir ibn ‘Asyur, Alaisa al-Subh bi Qarib, 186. Tunisia: Dar Suhnun)
Walaupun
tujuan mereka mungkin untuk menghalang fitnah yang mereka jangka,
tetapi memasukkan bab-bab itu ke dalam tauhid adalah tidak benar.
Ia akan membawa kekecohan bawa iaitu kafir-mengkafir, ataupun sesat menyesat kerana politik.
Hal
yang sama berlaku kepada golongan yang menjadikan penyertaan kepada
parti politik mereka termasuk dalam isu akidah, lantas mereka
mengkafirkan ataupun memandang sesat sesiapa yang tidak menyokong parti
tertentu.
Sejarah hitam kafir mengkafir di Malaysia adalah hasil dari nas-nas agama ditafsirkan menurut kehendak politik kepartian.
Rukun kedamaian
Mentaati ulil amri ataupun penguasa adalah rukun dalam penegakan maslahah siasiyah (kemaslahatan politik).
Mustahil
dapat diwujud satu kerajaan yang aman dan kuat yang melaksanakan
kemaslahan rakyat tanpa ketaatan daripada rakyat itu sendiri.
Ini
seperti mana mustahil dapat ditegakkan keamanan tanpa keadilan daripada
pemerintah yang menguruskan kehidupan negara dan rakyat.
Allah menegaskan dalam al-Quran, Surah al-Nisa' ayat 58-59 yang bermaksud:
"Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum
antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
"Sesungguhnya
Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya
kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Melihat.
"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah
Rasul dan uli al-Amr dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih
pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan
al-Rasul (sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari
akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya."
Ayat
perintah ketaatan datang selepas penegasan Allah tentang tanggungjawab
memilih pemimpin dan orang yang layak untuk memegang amanah, kemudian
pemimpin pula berhukum dengan adil.
Apabila dua tanggungjawab utama itu dilaksanakan, mana datangnya penegasan tanggungjawab ketaatan.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut petikan ucapan yang disandarkan kepada Ali bin Abi Talib:
"Tanggungjawab
pemerintah ialah berhukum dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila
dia melakukan yang demikian, wajib ke atas muslimin untuk mentaatinya
kerana Allah memerintahkan kita menunaikan amanah dan adil, kemudian
memerintah agar mentaati pemerintah". (Al-Qurtubi: Abu ‘Abdillah
Muhammad bin Ahmad, al-Jami' li Ahkam al-Quran, 5/359. Beirut: Dar al-Fikr)
Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menyebut dalam kitab Fath al-Bari:
"Antara
jawaban yang menarik, ungkapan kalangan tabiin kepada para pemerintah
Bani Umayyah apabila ada yang berkata: Tidakkah Allah memerintahkan kamu
untuk taat kepada kami dalam firman-Nya ‘dan Ulil Amri dari kalangan
kamu'.
"Maka dijawab: 'Tidakkah kewajiban taat itu telah dicabut
(dibatalkan) apabila kamu menyanggahi kebenaran dengan firman-Nya ‘jika
kamu berselisih pendapat dalam sesuatu maka kembalilah kepada Allah
(al-Quran) dan ar-Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah.
(Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4. Beirut: Dar al-Fikr).
Dalam
Tafsir al-Nasafi disebut dialog ini antara tokoh tabiin yang terkenal
Abu Hazim dengan Maslamah bin ‘Abd al-Malik bin Marwan. (Jilid 1/232. Beirut: Dar al-Fikr)
Ini
kerana, apabila pemerintahan menyanggahi kebenaran, maka hilanglah
kemaslahatan siasah yang menjadi kewajibannya untuk dia tegakkan.
Maka, ketika itu penilaian terhadap arahan pemerintah hendaklah dirujuk kepada asas-asas ajaran Allah dan rasul-Nya.
Tidak mutlak
Maka,
ketaatan kepada para pemerintah ada batasannya. Hak untuk mereka
ditaati tidak sama dengan ketaatan kepada Allah dan rasul-Nya. Ketaatan
kepada Allah dan rasul-Nya adalah mutlak.
Allah dan rasul tidak
boleh dibantah. Dalam masa yang sama kita tahu segala arahan yang
bersifat syariat yang datang dari keduanya adalah untuk kemaslahatan
manusia.
Hal ini tidak sama dengan para pemerintah. Ketaatan
kepada mereka tidak mutlak. Mereka sentiasa terdedah kepada kepentingan
diri seperti mana manusia lain, maka bukan semestinya semua yang datang
dari mereka itu untuk maslahat rakyat dan negara.
Kemungkinan arahan mereka membawa kerosakan bukan kemaslahatan, yang mana ia bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.
Untuk itu jika kita melihat firman Allah dalam hal ini, Allah menyebut yang bermaksud:
"Wahai
mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amr
dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu
maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan al-Rasul (Sunnah), jika
kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang
paling utama dan paling baik akibatnya."
Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan kata-kata al-Tibi:
"Berkata
al-Tibi: Allah mengulangi arahan dalam firman-Nya ‘taatilah Rasul'
sebagai isyarat bahawa kemutlakan Rasul itu dalam ketaatan. Dia tidak
mengulanginya pada ulil amr sebagai isyarat terdapat dalam kalangan
mereka (ulil amri) yang tidak wajib ditaati.
"Kemudian Allah
terangkan perkara itu dengan firman-Nya ‘jika kamu berselisih pendapat
dalam sesuatu...' seakan dikatakan jika mereka tidak beramal dengan
kebenaran maka kamu jangan taat dan kembalikan apa yang kamu selisihkan
mengenainya kepada hukum Allah dan Rasul-nya". (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari 15/4)
Taat dalam perkara ijtihadi
Tidak
dinafikan kadang-kala ada tindakan pemerintah yang tidak dipersetujui
oleh rakyat bawahan sedangkan tindakan itu tidak mungkar.
Maka
sekiranya tindakan itu tidak menyanggahi syarak, tidak membawa mafsadah
(kerosakan) yang nyata ataupun bukan satu kezaliman, maka ia termasuk
dalam batas-batas ijtihad pemerintah yang diizinkan syarak, dan rakyat
mesti taat.
Ini kerana jika setiap orang mahu bertindak mengikut
ijtihad sendiri dalam perkara yang membabitkan kepentingan awam, tentu
rosak keadaan negara dan musnah kemaslahatan awam.
Dalam keadaan
seperti ini, ijtihad rakyat hendaklah akur kepada bidang kuasa
pemerintah dalam perkara yang membabitkan pengurusan kemaslahatan awam.
Daripada ‘Abd Allah bin ‘Umar RA, daripada Nabi SAW, sabda baginda:
"Dengar
dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim
dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan
dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat
maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis
di atas dengan jelas mewajibkan setiap muslim mentaati para pemerintah
dalam apa jua perkara, selagi tidak berbentuk maksiat kepada Allah.
Bahkan
dalam hadis di atas baginda Nabi SAW menegaskan bahawa ketaatan kepada
para pemerintah merangkumi perkara yang disukai atau dibenci selagi ia
tidak menyanggahi Allah.
Kata al-Nawawi (wafat 676H) dalam mensyarahkan hadith berkenaan:
"Maksudnya,
wajib mentaati para pemerintah dalam perkara yang susah, yang tidak
disukai oleh jiwa dan selainnya dalam perkara yang tidak maksiat".
(Al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/537, Beirut: Dar al-Khair).
Dengan
itu, jika pandangan kita berbeza dengan pandangan pemerintah sedangkan
pandangan pemerintah itu bersifat ijtihadiyyah yang tidak menyanggahi
al-Quran dan al-Sunnah secara jelas, juga kemaslahatan awam secara
nyata, maka kita diamkan diri dan serahkan urusan tersebut kepadanya.
Ini tidak menghalang kita memberikan pandangan kita melalui saluran yang disediakan.
Membezakan
Maka,
rakyat hendaklah membezakan antara perkara mungkar, zalim dan mafsadah
(merosakkan) dengan ijtihad pemerintah yang mungkin tidak disukai oleh
sesetengah pihak tetapi ia tidak mungkar, tidak zalim dan tidak
merosakkan kepentingan awam.
Maka bahagian yang kedua termasuk
dalam ijtihad pemerintah yang wajib ditaati oleh seorang muslim
sekalipun dia tidak menyukainya.
Namun, jika ia mungkar, kezaliman dan kerosakan yang nyata, maka ia tidak ditaati.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.