PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 16 September 2012

DAP Kecam Filem Hina Nabi

KUALA LUMPUR, 16 Sept — DAP hari ini turut mengecam penerbitan filem anti Islam dan menghina Nabi Muhammad “The Innocence of Muslims”, dan mengingatkan bahawa demokrasi bukanlah “lesen untuk mencetuskan persengkatan keagamaan”.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini menegaskan pihaknya turut mengutuk keganasan yang telah berlaku ke atas empat rakyat Amerika termasuk dutanya di Libya, Christopher Stevens, yang terbunuh dalam insiden rusuhan dipercayai mempunyai kaitan dengan filem tersebut.

“DAP mengecam sekeras-kerasnya filem anti-Islam terbaru yang dikatakan menghina agama Islam dan juga Nabi Muhammad. Filem ini yang bukan sahaja kurang sensitif tetapi jelas bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen keagamaan.

“Ia juga harus ditarik balik daripada mana-mana laman web termasuk Youtube dengan serta merta,” tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi.

Beliau turut menambah, DAP menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan berkreativiti, namun setiap karya yang dihasilkan perlulah mempunyai tanggungjawab moral ke atas budaya dan kepercayaan mana-mana agama mahupun bangsa.

“Kebebasan berkarya tidak wajar disalahgunakan seperti yang telah berlaku dalam filem ini.

“Isu seperti ini harus menjadi teladan kepada kita bahawa demokrasi dan kebebasan bukanlah lesen untuk kita menggunakan atau memperalatkan bangsa, agama, budaya atau kepercayaan untuk mencetuskan sengketa atau permusuhan,” tambah Ahli Parlimen Bagan ini lagi.

Video kontroversi 14 minit yang didakwa menghina Nabi Muhammad sebagai kaki perempuan, dipercayai dibuat oleh Coptic Christian Mesir dan telah menimbulkan protes seluruh dunia dipercayai telah dimuat naik ke Youtube pada Julai lalu.

Ekoran itu, masyarakat Islam seluruh dunia telah mengadakan demonstrasi dan tunjuk perasaan bagi membantah penerbitan video berkenaan yang menghina Nabi Muhammad kerana memaparkan watak baginda sebagai kaki perempuan.

Klip video berkenaan telah pun dikeluarkan dari laman Youtube di beberapa negara termasuk Indonesia dan India kerana dua negara itu mempunyai undang-undang berkenaan perkara tersebut.

Malah, enjin carian video terbesar itu turut menghalang pengguna di Libya dan Mesir daripada mengakses video berkenaan atas alasan “situasi yang sangat sensitif”.

Kerajaan juga telah menggesa Google Malaysia untuk mengeluarkan video tersebut dari laman enjin carian mereka berikutan kemarahan komuniti Muslim di negara ini yang mewakili 60 peratus daripada 28 juta populasi rakyat Malaysia.

Google Malaysia mengesahkan telah menerima permintaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dipetik akhbar The Sunday Star hari ini yang melaporkan “Google patuh kepada undang-undang di setiap Negara”.

“Jadi, (kami) akan bertindak berdasarkan rungutan rasmi daripada pihak berkuasa,” kata Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia Zeffri Yusof dan menambah, rungutan tersebut perlu dibuat dengan “menyatakan undang-undang yang dilanggar”.

Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim dipetik Bernama sebelum ini berkata adalah menjadi tanggungjawab Youtube untuk membuang video filem itu.

Beliau turut berkata, “membuang video klip berkenaan bukanlah di bawah bidang teknikal kami,” namun menambah SKMM “terikat dengan langkah pencegahan untuk mengambil tindakan menghalang akses kepada video tersebut”.

Lim turut mengingatkan masyarakat Islam di Malaysia agar bantahan yang dibuat dikemukakan dengan cara yang paling baik demi mengelak kejadian-kejadian yang lebih buruk daripada berlaku.

“Kita yakin bahawa masyarakat Islam di Malaysia sudah cukup matang dan bijak dalam berhadapan dengan tragedi seperti ini,” katanya lagi. ~themalaysianinsider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan