PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Rabu, 5 September 2012

Ustaz Azizan ceria dan pengerusikan mesyuarat Exco

Hazayani Zakaria, 05 Sep 2012
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak hari ini mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid berkata, kesihatan Azizan semakin baik dan mampu menghadiri majlis-majlis rasmi.

"Ustaz Azizan sedang mempengerusikan mesyuarat dan beliau nampaknya sihat walafiat," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily kira-kira jam 11 pagi ini.

Akhbar Sinar pula melaporkan, Azizan kelihatan ceria ketika tiba di Wisma Darul Aman hari ini bagi mempengerusikan mesyuarat Exco.

Ketibaan beliau disambut oleh Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Rasli Basir.

Ketika ditemui di pekarangan lobi Wisma Darulaman, Azizan yang ceria sempat berseloroh dengan jurugambar dan wartawan yang tiba sejak  jam 10 pagi untuk merakamkan wajah beliau buat pertama kali selepas dilaporkan mengalami masalah kesihatan.

“Tengoklah sendiri, saya sihatkan,” katanya, sambil ketawa.

Azizan sempat bergurau dengan wartawan, mengatakan keadaan beliau semakin baik malah dirinya semakin kacak sejak kembali sihat.

(Ustaz Azizan kelihatan ceria apabila tiba dengan ditemani Setiausaha Akhbarnya, Helmi)

“Makin kacak tak,” katanya, sambil mengenyitkan mata, lapor wartawan Sinar Harian.
Menurut Helmi, Azizan masih perlu berehat dan mendapat rawatan susulan di KMC.

Awal minggu lalu, Azizan dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) di Alor Setar akibat keletihan kerana terlalu banyak menghadiri program sepanjang Ramadan.

Doktor juga menasihatkan beliau agar berehat di hospital untuk memastikannya mendapat rehat yang cukup.

Kali terakhir Azizan mempengerusikan mesyuarat Exco ialah pada Ahad, 5 Ogos lalu.

Sabtu lalu juga, Azizan yang kelihatan semakin pulih dilihat menghadiri Majlis Rumah Terbuka PAS Kedah.
Iklan Teks

Tiada ulasan:

Catat Ulasan