PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 18 September 2012

MENCORAK RIWAYAT HIDUP

SIRI 1

SEBELUM melangkah lebih jauh ke siri-siri seterusnya, penulis mengajak pembaca mengenali diri sendiri. Bagi memudahkan kita mengenali diri sendiri, marilah kita berkelana ke alam-alam yang telah, sedang dan akan kita semua lalui. Kita yang diberi peluang merasai hidup di dunia ini tidak terlepas daripada telah, sedang dan akan menempuhi lima alam. Lima alam yang dimaksudkan itu ialah:

          1. Alam Arwah,
          2. Alam Zulmah,
          3. Alam Syahadah,
          4. Alam Barzakh dan
          5. Alam Akhirat.

          Alam Arwah ialah alam yang telah kita semua lalui sebelum kita diberi peluang hidup sebelum berjasad, sebelum dimasukkan ke Alam Zulmah melalui proses percantuman benih ayah dan ibu. Alam Zulmah (gelap) ialah alam di dalam kandungan ibu. Alam Syahadah (penyaksian) adalah alam dunia ini. Alam seterusnya ialah Alam Barzah (kubur) dan Alam Akhirat yang kekal abadi.

           Bagi seseorang yang diberi peluang merasai hidup di dunia ini, dunia adalah Alam Syahadah yang sedang dilaluinya. Bermakna dia telah menempuhi dua alam, iaitu Alam Arwah dan Alam Zulmah. Ini juga bermakna dia sedang menunggu untuk menempuhi dua alam lagi, iaitu Alam Barzakh dan Alam Akhirat.

          Ada orang yang tidak berpeluang merasai hidup di Alam Syahadah apabila ajalnya hanya setakat di dalam Alam Zulmah atau di dalam kandungan ibunya sahaja. Oleh kerana kesempatan hidupnya hanya setakat berada di dalam kandungan ibunya sahaja, tidaklah dia perlu menerima bebanan sepertimana orang lain yang berpeluang hidup sehingga tertaklif ke atasnya tanggungjawab yang diamanahnya Allah SWT.

          Penulis akan cuba membicarakan satu persatu kehidupan di alam-alam berkenaan dan akan memilih topik-topik penting untuk huraian semasa di Alam Syahadah. Pemilihan topik-topik penting untuk dihurai semasa kehidupan di alam syahadah bertujuan supaya penulis dan pembaca dapat fokus kepada tujuan sebenar hidup dan seterusnya bagaimana hendak MENCORAK RIWAYAT HIDUP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan