PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 18 Jun 2012

Calon Ikhwan menang p'raya Presiden Mesir



28 Rejab 1433H. [MOD] -

KAHERAH: Setelah tamatnya tempoh mengundi pada jam 10 malam, proses pengiraan undi pusingan kedua pilihan raya Presiden terus berjalan di setiap pusat-pusat mengundi di seluruh Mesir.

Ia berjalan lancar dan tidak ada sebarang kekacauan besar yang dilaporkan berlaku setakat ini di seluruh Mesir. Akan tetapi pertandingan pusingan kedua ini telah menyerlahkan lagi pertembungan sengit antara calon dari gerakan Islam Ikhwan Muslimin dengan calon yang ditaja dari saki-baki pimpinan rejim Mubarak serta pihak tentera SCAF.

Proses pengiraan undi berjalan lancar terutama apabila baru-baru ini Parlimen telah mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan undi tempat undian itu sendiri bagi lebih menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang penipuan. Proses pengiraan ini dikawal selia oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon yang bertanding. Salinan keputusan di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi di sepanjang tempoh pengundian.

Keputusan tidak rasmi yang di keluaran setakat ini menunjukkan calon Ikhwan Muslimin Dr. Mohamad Morsi mendahului di kebanyakan daerah mengundi. Keputusan awal tidak rasmi mendapati Dr Mohamad Morsi mendapat 52.5% undi iaitu lebih 12.7 juta undi manakala calon tajaan bekas rejim Mubarak, Ahmed Syafik mendapat 47% undi dengan 11.3 juta undi dan ketinggalan lebih satu juta undi di belakang Dr. Morsi.

Suasana di pejabat FJP nampaknya ceria dengan berita yang diterima setiap minit tentang keputusan bilangan undi yang banyak memihak kepada calon mereka Dr. Morsi. Pemuda-pemuda Ikhwan yang menjadi tenaga penting sepanjang pilihanraya ini kelihatan amat sibuk menyediakan bahan-bahan media dan juga melayan ramai pemberita-pemberita tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di pejabat FJP.

Ya, keputusan tidak rasmi ini yang meletakkan calon Ikhwan Dr. Mohamad Morsi menang sebagai Presiden pertama dalam sejarah Mesir yang dipilih secara demokratik oleh rakyat. Kemenangan ini juga bakal menjadi ‘mimpi ngeri’ bagi Kuasa Barat yang selama ini menjadikan rejim Mubarak sebagai alat bagi melindungi Israel dan menjaga kepentingan strategik mereka di Timur Tengah. Begitu juga dengan saki-baki rejim Mubarak yang masih dapat memperalatkan institusi kehakiman dan polis serta pihak tentera SCAF yang banyak melakukan tindakan bertentangan dengan perlembagaan Mesir sendiri bagi melindungi kepentingan kedudukan mereka.

Seperti yang telah dimaklumi, Parlimen Mesir baru sahaja dibatalkan oleh Mahkamah Perlembagaan Mesir dan pihak tentera SCAF terus membubarkan Parlimen dengan kuasa yang ada pada mereka. Lebih parah lagi dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon FJP, pihak tentera SCAF telah melakukan 8 ‘pindaan kilat’ kepada perlembagaan Mesir yang dilihat adalah untuk menjamin kuasa yang ada pada pihak tentera. Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada SCAF bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa mengisytiharkan Perang hanya dengan ‘kelulusan’ dari SCAF dan sekiranya berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak tentera hanya dengan kebenaran SCAF.

Dari pengamatan saya sepanjang kempen pilihanraya Presiden berjalan, kuasa-kuasa besar Barat serta sekutunya Israel telah berusaha keras dengan menjalankan pelbagai propaganda jahat bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka menang dalam pilihan raya ini. Ahmad Syafik telah diberikan pelbagai publisiti besar oleh media yang masih dikuasai oleh saki-baki pro-Mubarak. Ia juga turut dibantu oleh media barat terutamanya BBC dan CNN yang melebalkan Syafik ‘sebagai calon penyalamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak. Calon Ikhwan FJP Dr. Mohamad Morsi pula, telah di serang habis-habisan dengan pelbagai tuduhan negatif serta kempen menakut-nakut pengundi terutamanya dari kalangan yang beragama Kristian akan ‘bahaya’ kemenangan parti Islam yang akan membawa Mesir kembali kepada zaman unta.

Namun kekuatan jentera pilihanraya dari calon Ikhwan Muslimin peru diberikan pujian. Mereka telah berjaya menyaingi jentera media barat ini dengan banyak menggunakan kempen melalui media baru seperti Twitter dan Facebook. Bgitu juga dengan kempen dari rumah ke rumah yang dijalankan oleh pemuda dan muslimat ikhwan di seluruh pelosok Mesir tanpa mengenal penat an lelah telah menampakkan hasil yang positif.

Keputusan rasmi penuh hanya akan diumumkan pada Khamis depan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir. Namun keputusan tidak rasmi yang didapati setakat ini menunjukkan bahawa Mesir selepas kejatuhan rejim zalim Mubarak akan terus berubah dengan “Kuasa rakyat’ akan terus memimpin. Masa depan Ikhwan Muslimin dan gerakan Islam adalah cerah setelah mereka kini dapat sedikit bernafas dengan bebas dan telus di medan demokrasi yang disanjung Barat. Kemenangan calon Ikhwan ini juga akan juga menjadi inspirasi dan semangat kepada PAS bagi menghadapi PRU13 akan datang di negara kita Malaysia. Tahniah Dr. Morsi...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan