Indeks bursa saham Mesir naik
6 Syaaban 1433H. [MOD] -
MOHAMMED MORSI (tiga dari kanan) duduk di dalam studio sebuah stesen televisyen di Kaherah kelmarin.
KAHERAH
- Stesen televisyen pemerintah melaporkan indeks bursa saham Mesir
ditutup tinggi dengan rekod kenaikan 7.5 peratus susulan deklarasi
kemenangan seorang calon pro-Islam pada pilihan raya Presiden negara
berkenaan.
Pihak
berkuasa menghentikan dagangan di bursa Mesir selama setengah jam
semalam selepas indeks EGX100 menokok lebih 5 peratus bagi mengelakkan
perubahan ketara berlaku dalam pasaran.
Beberapa
penganalisis berkata, kenaikan itu didorong oleh deklarasi kemenangan
selepas persaingan sengit melibatkan calon pilihan pergerakan Ikhwanul
Muslimin, Mohammed Morsi dan bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Shafiq.
Ramai
bimbang pengumuman keputusan pilihan raya tersebut akan mencetuskan
keganasan tetapi tindak balas rakyat setakat ini adalah sambutan
kemenangan Morsi oleh para penyokongnya.
Dalam
perkembangan berkaitan, Morsi mengadakan satu pertemuan terutup dengan
pemerintah tentera, Fil Marsyal Hussein Tantawi dan Perdana Menteri,
Kamal Al-Ganzouri semalam ketika beliau memulakan perbincangan bagi
membentuk pentadbirannya.
Perkembangan itu berlaku sehari selepas beliau berikrar untuk menjadi Presiden kepada semua rakyat Mesir.
Morsi kelmarin menjadi Presiden pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas di Mesir.
Mereka
dijangka berbincang mengenai upacara angkat sumpah Presiden Mesir
dengan tarikh bagi majlis tersebut masih belum ditetapkan.
Sementara
itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menyatakan
bahawa Israel berharap dapat menjalin kerjasama di masa hadapan dengan
pentadbiran baharu Mesir di bawah kepimpinan Morsi.
"Kami
berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baharu berdasarkan
perjanjian damai antara Mesir dan Israel," kata Netanyahu kepada
wartawan semasa beliau melawat Presiden Rusia, Vladimir Putin. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan