PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Selasa, 26 Jun 2012

Nak berdebat ke tak nak?' tanya Anwar pada PM



6 Syaaban 1433H. [MOD] -

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dengan sinis mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin berdebat dengannya atau tidak.

Anwar berkata, kenyataan Najib sebelum ini yang mengatakan debat bukan satu budaya, juga merupakan helah untuk mengelak berdebat dengan beliau.

"Dia nak debat ke tak nak? Dia anjurkan debat di seluruh sekolah. Hadiah (yang diperolehi ialah piala) perdana menteri. Di sekolah minta anak-anak untuk berdebat. Hadiahnya (piala) perdana menteri. Tapi perdana menteri kata bukan budaya. Habis yang diajar di sekolah itu apa?

"Itu cuma helah nak elak untuk berdebat," kata Anwar ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pidato aspresiasi di majlis pelancaran dan diskusi buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat malam tadi.

Majlis pelancaran dan diskusi buku hasil tulisan Datuk Dr Siddiq Fadzil itu juga turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Jumaat lalu, Najib terus mengelak apabila ditanya mengenai cabaran yang dikemukakan Anwar untuk mengadakan debat.

Katanya, debat tidak semestinya dilihat sebagai satu budaya tetapi mesti dilihat mengikut kepada keadaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatakan perbahasan di Parlimen ada unsur perdebatan, Anwar menafikan perkara tersebut.

"Debat... bila Datuk Najib datang? nak debat atau tidak. Bagi alasan Parlimen ada debat. Tak ada.

"Kedua ini bukan budaya Melayu. Maki orang, pukul orang, bunuh, hina itu budaya Melayu ke? Guna media untuk aibkan orang itu budaya Melayu?" soal Anwar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan pemimpin baru Mesir, Mohamed Morsi, Anwar berkata, perkara tersebut membuktikan bahawa suara rakyat harus dihormati.

Menurut Anwar, presiden Mesir yang baru itu telah menghadapi pelbagai tuduhan tetapi masih ada kekuatan dan sambutan dari rakyat negara itu.

"Rakyat Mesir dah buat keputusan. Ini tunjukkan bahawa suara rakyat harus dihormati. Beliau telah dipenjara dan dihina dengan pelbagai tuduhan tetapi masih lagi ada kekuatan dan mendapat sambutan rakyat," kata Anwar.

Ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, Anwar berkata, mantan perdana menteri itu masih mewakili zaman lampau.

Sambil menyifatkan bapa pemodenan itu mewakili pandangan bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, Anwar berkata, Mahathir masih lagi merasai kehilangan Hosni.

"Mahathir mewakili zaman lampau dan mewakili pandangan Husni Mubarak. Jadi kawan kita Tun Mahathir masih rasa kehilangan Hosni sedangkan rakyat Mesir bergembira," kata Anwar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan