PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Sabtu, 25 Ogos 2012

Pengiktirafan beri manfaat setempat


PARA peserta Persidangan Antarabangsa mengenai Arkeologi Impak Meteorit di Bukit Bunuh, Lenggong tidak sabar menyaksikan manfaat yang bakal dikecapi di Lenggong.


SATU pelan induk perancangan mesti dirancang dan disediakan bagi memastikan potensi Lembah Lenggong yang diiktiraf UNESCO itu benar-benar memberi manfaat langsung kepada negara khususnya penduduk Lenggong sendiri.
Bagi Pengerusi Majlis Pelancongan Komuniti Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, status Tapak Warisan Dunia itu harus diangkat setinggi mungkin kerana pengiktirafan sedemikian merupakan satu anugerah yang tidak mungkin mampu dibeli dengan wang ringgit.
Beliau yang ditemui semasa meraikan para peserta Persidangan Antarabangsa mengenai Arkeologi Impak Meteorit di Bukit Bunuh baru-baru ini berkata, kini sudah sampai masanya untuk pihak berwajib termasuk kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri Perak menjadikan Lembah Lenggong sebagai destinasi wajib dikunjungi pelancong.
"Bagi warga Lenggong, kita menganggap pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia itu sebagai satu cabaran bagi memastikan kelestarian kawasan berkenaan kekal, namun pada masa yang sama memangkin pertumbuhan setempat.
"Walaupun tapak berkenaan kini di bawah seliaan Jabatan Warisan Negara namun kita komited untuk sama-sama menggembleng tenaga memastikan ia memberi limpahan ekonomi penduduk terutama di kawasan berhampiran," katanya.
Katanya, Lenggong sememangnya diketahui mempunyai tarikannya tersendiri dan menganggap status Tapak Warisan Dunia keempat negara itu menjadi nilai tambah yang memberi manfaat kepada anak-anak tempatan.
Perasaan bangga
Sebelum ini, bandar Melaka dan Georgetown dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia kategori kebudayaan, Taman Negara Kinabalu (Sabah) manakala Taman Negara Mulu (Sarawak) telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia kategori Tapak Semula Jadi pada tahun 2000.
"Kami bagaikan menumpang tuah. Tanyalah sesiapa sahaja yang menetap di Lenggong mengenai status Tapak Warisan Dunia, semuanya pasti tersenyum bangga.
"Kami juga berterima kasih kepada kesemua pasukan penyelidik USM terutama Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Prof. Emeritus Datin Paduka Dr. Zuraina Majid yang mengelolakan penyelidikan awal tiga dekad lalu.

LENGGONG juga terkenal dengan industri tradisional ikan pekasam Sungai Perak dan boleh didapati di sepanjang laluan Kuala Kangsar-Lenggong.


"Begitupun, kami berharap pengiktirafan ini bukan sahaja melonjakkan nama Lenggong di persada antarabangsa tetapi dapat memberi impak secara langsung ke atas sosioekonomi masyarakat di sini," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong optimis, lebih ramai pengunjung akan menjengah sendiri lokasi yang diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia itu berbanding sebelum ini.
"Peningkatan mendadak pengunjung ke Muzium Arkeologi Lenggong sejak berita pengumuman pengisytiharan itu jelas menunjukkan ramai yang mahu melihat sendiri penemuan-penemuan arkeologi di sini.
"Saya percaya senario ini akan terus berkembang sekali gus memberi faedah kepada penduduk setempat kerana ia akan mengembangkan industri hiliran sedia ada," katanya.
Jarak Lenggong dari Kuala Lumpur hanya sekadar 340 kilometer dan boleh diakses menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum menyambung perjalanan menggunakan Lebuh Raya Timur-Barat.
"Bagaimanapun, kita menggiatkan usaha menggalak lebih ramai penduduk mengusahakan industri inap desa dan saya percaya, pelancongan agro yang dilaksanakan ketika ini di sini akan melengkapkan pakej pelancongan Lembah Lenggong," katanya.
Shamsul Anuar mengakui, usaha tersebut tidak mampu dilakukan sekelip mata, sebaliknya memerlukan komitmen pelbagai pihak. - AHMAD SYAKIR SAZILI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan