Tanyalah diri samada kita patuh atau tidak kepada Allah melalui Ramadan Kareem - Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang diturunkan
padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari
antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya),
maka hendaklah ia berpuasa." - 185.
Petikan ayat ini bukan sahaja menegaskan wajib berpuasa dibulan Ramadan.
Bulan yang mulia ini juga dipilih masa yang paling munasabah diturunkan
Al Quran kitab petunjuk, keterangan-keterangan dan penjelasan kepada
petunjuk, serta menegaskan pemisah yang membezakan diantara dua perkara
yang bertentangan.
Ia bagi menentukan benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan
kesesatan daripada Allah Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui
segala-galanya dan bersifat dengan segala sifat kepujian. Ibadat puasa
bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya, tidak seperti
ibadat lain yang dinyatakan pahala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda
sehingga tujuh ratus kali ganda.
Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada
hari kiamat kelak. Ibadat puasa juga adalah tarbiyah diri dengan sifat
ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri
manusia disisi Allah. Menjelaskan bahawa martabat manusia bukannya
keturunan, bangsa, pangkat, ilmu, harta dan warna kulit.
Apabila berpuasa dengan ikhlas bermakna kesediaan patuh kepada Allah di
atas sifat hamba, sehingga meninggalkan makan minum dan kepuasan hawa
nafsu walaupun dihalalkan dimasa yang lain. Walaupun semua perkara yang
membatalkan puasa itu adalah rukun hidup manusia secara tabie'nya.
Kepatuhan menunaikan perintah itu secara memperhambakan diri kepada
Allah, yang berbeza dengan patuh kepada sesama makhluk saperti ibubapa,
ketua, raja dan pemimpin.
Menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah adalah mutlak. Adapun ketaatan
kepada sesama makhluk pula bersyarat selagi tidak berlawanan dengan
perintah Allah. Ia menunjukkan bahawa hubungan hamba dengan Allah adalah
Maha tinggi, berbeza dengan hubungan rakyat dengan raja dan pemimpin,
hubungan pekerja dengan majikan, hubungan anak dengan ibu bapa.
Adalah menjadi hikmat paling besar Allah memilih bulan ramadan, bahawa
Al Quran diturunkan seluruhnya ditempat mulia yang ditentukannya. Ada
kalangan para ulama yang menamakannya dengan Bait Al Izzah dan ada yang
menamakanya dengan Mawaqei’ Al Nujum.
Kemudian Al Quran diturunkan melalui wahyu oleh Malaikat Jibril A.S
secara berperingkat mengikut sebab dan keperluan yang diatur supaya
mendidik generasi awal yang menerimanya dengan cara paling berkesan. Ini
kerana mereka menjadi contoh kepada seluruh manusia.
Al Quran adalah kalam Allah. Sifatnya yang wajib dinyatakan ke dalam
bahasa Arab, bahasa pilihan Allah di dunia dan pada hari Qiamat. Al
Quran juga adalah petunjuk daripada Allah kepada manusia dalam semua
perkara yang berkait dengan kejadian mereka dan peranan mereka di alam
dunia dengan cara yang betul. Allah memilih manusia berperanan dibumi
kerana sifat kejadian mereka dan menguji kesetiaan mereka kepada Allah
dengan kemampuan jasad, roh dan akal.
Dengan kemampuan ini manusia mampu beribadat dibumi dan memakmurkan
segala yang lain dengan petunjuk Allah dan kemampuan akal dan ilmu yang
ada kepada mereka. Ada kalangan manusia yang menerima perintah Allah itu
dengan Islam (menyerah diri) dan Iman (percaya). Namun, ramai kalangan
manusia yang tidak bersyukur, lalu menjadi kufur dan sombong menolak
petunjuk Allah dengan mencipta cara yang merosakkan diri manusia dan
alam kelilingnya.
Maka berlakulah perlawanan sengit dalam kalangan manusia itu. Rasulullah
S.A.W. terpaksa berdepan dengan pertembungan yang membawa kepada
perpecahan yang wajib berlaku, bermula daripada perbalahan sehingga
terpaksa berperang kerana adanya kalangan manusia yang melampau. Maka
menjadi ujian diantara hubungan dengan Allah yang lebih diutamakan atau
hubungan dengan manusia yang wajib dijaga dengan semangat kekeluargaan
dan persaudaraan.
Bulan ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar dan Fathu Makkah.
Rasulullah S.A.W. dituduh menjadi sebab perpecahan dalam satu bangsa dan
satu keluarga kerana tidak bersedia menerima tawaran menjadi Raja
Makkah atau pemimpin bersama harta kekayaan dengan syarat yang
ditetapkan supaya meninggalkan Islam, sama ada semua atau sebahagian.
Puncanya para pemimpin Makkah tetap mempertahankan sistem jahiliyah dan
menolak petunjuk Allah yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W.
menyampaikannya supaya dilaksanakan kepada seluruh manusia di seluruh
dunia sehingga hari qiamat. Allah mewajibkan kepada Rasulullah S.A.W.
mencari tempat hijrah. Akhirnya berjumpa Madinah dan berbagai kaumnya
yang bersedia menerima Islam sehingga ditegakkan negaranya.
Maka Islam yang adil kepada seluruh manusia masyarakat majmuk dapat
ditunjukkan secara nyata dan terbuka. Tiba-tiba para pemimpin Makkah
berketuakan Abu Jahal membawa bala tentera menyerang Rasulullah dan para
sahabatnya, kerana Islam yang diamalkan itu mendedahkan kejahatan dan
kesesatan penentangnya. Kedua-dua belah pihak bertempur di tempat
bernama Badar dan berlaku dibulan ramadhan.
Abu Jahal berdoa kepada Allah supaya membinasakan Muhamad yang dituduh
membawa ajaran sesat dan memecahbelahkan keluarga dan bangsa. Rasulullah
S.A.W. juga berdoa dengan munajat memohon pertolongan supaya Islam dan
penganutnya diselamatkan. Kedua-dua belah pihak mengaku benar dan
berdoa.
Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan para
sahabat yang setia dalam keadaan terlalu kecil jumlahnya dan tidak
mencukupi kelengkapan peperangannya. Bala tentera Musyrikin Makkah
dikalahkan. Abu Jahal pemimpin utama dan ramai kalangan para pemimpin
dibunuh dan ramai yang ditawan dengan hina walaupun jumlahnya berlipat
kali ganda dan lengkap bersenjata.
Allah menamakan hari Badar dengan Hari Furqan (pemisahan diantara dua
pihak), daripada satu bangsa dan satu keluarga. Menjadi peristiwa yang
menguji diantara perasaan beriman dan cintakan Allah bertembung dengan
perasaan kasihkan keluarga dan bangsa.
Maka Allah menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan
dengan sesama manusia. Walaupun kalangan paling hampir hubungan
kekeluargaannya. Allah memberi sanjungan paling tinggi kepada mereka
yang berjaya dalam ujian perasaan dan peperangan dalam peristiwa Badar
dengan firmannya bermaksud: "(wahai Ahli Badar! Lakukanlah apa sahaja
yang kamu mahu, kerana aku telah mengampunkan kamu)."
Di bulan Ramadan juga berlakunya Fathu Makkah (Makkah di bebaskan).
Apabila negaranya yang dipimpin oleh Abu Sufian (bapa mertua Rasulullah
S.A.W.) yang dilantik selepas terbunuhnya Abu Jahal dalam peperangan
Badar. Apabila pengikut Abu Sufian mencabuli perjanjian damai
(Hudaibiyah) dan apabila kabilah yang bernaung di bawah kerajaan Islam
diserang oleh kabilah yang berpihak kepada Makkah.
Maka Rasulullah S.A.W. menggerakkan bala tentera Islam menyerang Makkah
(tanah airnya sendiri) yang dikuasai oleh keluarga dan bangsanya
sendiri, bukannya bangsa asing atau makhluk asing. Akhirnya Abu Sufian
dan pengikutnya menyerah kepada Islam dan masuk Islam. Rasulullah S.A.W.
mengisytiharkan pengampunan umum yang tidak diduga oleh mereka yang
pernah berlaku zalim terhadap Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya,
menyebabkan hati mereka terbuka beramai ramai menerima Islam dengan
redha tanpa paksaan.
Semua perkara tersebut adalah hikmat ramadhan yang tinggi nilainya
kepada seluruh alam, khususnya kepada umat Islam. Hidayahnya! Bahawa
Islam yang menyelamatkan diri, keluarga, bangsa dan tanahair. Maka Islam
hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga
membuahkan taqwa dan menegakkan Islam diutamakan, perintah Allah
didahulukan, sehingga mengatasi kepentingan diri. Begitulah makan minum,
hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana
Allah dengan ikhlas.
>> Artikel ini ditulis oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merangkap Ahli Parlimen Marang, Terengganu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan