Mohd Syamil Azhar.
LENGGONG: Ramai pemohon Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di sini
terkilan menerima surat daripada Perdana Menter (PM)i, Datuk Seri Mohd
Najib Razak yang menganggap mereka telah menerima wang RM500 itu,
sedangkan surat penerimaan bantuan pun tidak sampai.
Beberapa orang yang ditemui Sinar Harian, berkata mereka tidak
mengharapkan sangat akan menerima BR1M, tetapi terasa sangat-sangat
apabila menerima surat daripada Perdana Menteri.
Ibu lima anak, Nor Aziah Abas, 36, dari Kampung Paya, Luat,
berkata dia tidak langsung menerima surat sama ada layak atau
tidaknya, sebaliknya surat daripada PM yang diterima kelmarin.
"Kalau benar-benar dapat bantuan RM500 tidak mengapalah sampai
surat daripada Najib pun, tapi BR1M pun tak dapat.
"Terkilan, saya terkilan dengan surat itu yang pada anggapan
Najib kami telah menerima bantuan berkenaan," katanya.
Nor Aziyah berkata, dia dan suaminya membuat permohonan untuk
BR1M kali kedua ini di Pejabat Tanah Lenggong dengan mengisi borang di
pejabat berkenaan, bukan di rumah.
Katanya, walaupun berpendapatan kira-kira RM500 sebulan, dia
tidak membuat permohonan untuk BR1M kali pertama tahun lalu kerana
tidak menerima borang.
"Suami seorang penoreh getah dan dengan pendapatan yang tidak
seberapa itu tidak wajar untuk dikategorikan sebagai tidak layak
menerima BR1M, tapi sehingga hari ini belum kami terima," katanya.
Seorang penoreh, Shahruddin Ismail, 66, dari Kampung Pulau
Cheri, juga sangat terkilan menerima surat daripada seorang pemimpin
negara yang menganggap dia sekeluarga telah menerima BR1M sepertimana
kebanyakan orang lain terima.
Katanya, dia memang tidak membuat permohonan untuk kali kedua
kerana telah memohon dan menerima bantuan berkenaan buat kali pertama
tahun lalu.
"Saya menerima surat itu pada 22 April lalu, tetapi tidak
membukanya kerana menganggap surat bersampul kuning itu surat layang
sepertimana telah banyak pucuk saya terima sebelumnya.
"Bagaimanapun apabila dibuka seorang kawan semalam, surat yang
ada terpampang gambar Najib rupa-rupa mengenai BR1M," katanya.
Shahruddin berkata, mungkin dia sekeluarga tidak layak menerima
bantuan berkenaan kerana berpendapatan RM800 sebulan.
Seorang warga emas, Saleh Abdullah, 80, turut menerima surat
daripada PM, walaupun dia tidak menerima BR1M untuk siri kedua ini,
sedangkan untuk kali pertama dia menerima bantuan itu.
"Saya nak ingatkan Najib, tak payahlah berjanji hendak memberi
lebih banyak lagi pada tahun-tahun akan datang sekiranya bantuan
sebanyak RM500 pun ramai yang tidak menerimanya.
"Selain itu, saya hendak persoalkan kemanakah wang yang
diperuntukkan untuk BR1M itu disalahgunakan?" soalnyas.
Tamat
3 lampiran — Imbas dan muat turun semua lampiran Lihat semua imej | |||
| |||
| |||
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan