PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Ahad, 21 April 2013

Punca Sebenar Dato' Kamalia Ibrahim Tanding Calon Bebas Terbongkar

Bekas naib ketua wanita Umno, Kamilia Ibrahim hari ini mendedahkan kenapa dia sanggup menjadi calon Bebas untuk bertanding walaupun tahu dia bakal dipecat dari parti.
Kepimpinan tertinggi Wanita Umno tiada tempat dalam pilihanraya umum 5 Mei ini merupakan punca utama mengapa Kamilia tidak teragak-agak menyerahkan kertas pencalonannya bertanding di parlimen Kuala Kangsar menentang calon Umno sendiri, Wan Muhamad Khairil dan calon PAS mewakili Pakatan Rakyat, Khalil Idham Lim.
Ternyata kekecewaan Kamilia yang sudah menggerakkan kerja berkempen sejak setahun lebih rupanya dipandang seperti sampah tak berguna apabila hanya diberi tempat sebagai calon DUN Bukit Chandan walaupun berjawatan pemimpin nombor dua wanita dalam Umno.
Malah BEKAS ketuanya, Shahrizat Jalil yang pantas mempertahankan keputusan presiden Umno, Najib Razak dan pengerusi badan perhubungan Umno Perak, Zambry Abdul Kadir tidak mahu mengulas lanjut mengenai kejutan yang dilakukan Kamilia bertujuan untuk tidak menambah garam pada luka yang sudah pun parah.
Alasan Zambry bahawa suara akar umbi lebih mahukan Khairil juga dilihat dangkal kerana pengundi tegar Umno yang selama ini diwakili BEKAS ahli parlimen Kuala Kangsar, Rafidah Aziz, sudah maklum bahawa Kamilia lah calon yang sesuai diletakkan berbanding dengan Khairil yang lebih rapat dengan pemimpin Umno atasan.
Tindakan Zambry menempelak Kamilia bukti satu lagi perpecahan tak terduga, bukan setakat dialami Umno Perak malah di seluruh negara.
Malah Najib sendiri kelmarin sudah mula mengeluarkan arahan supaya Kamilia 'diberi perhatian sewajarnya' kerana tanda-tanda untuk belot dari parti ternganga luas.
Wanita Umno yang selama ini dianggap tulang belakang kepada kemenangan parti itu kini sudah ibarat kupang tembaga tak laku seduit pun.
Bayangkan bagaimana wanita Umno bersusah payah merayu undi dari rumah ke rumah, berpanas dan berhujan serta sanggup bersengkang mata menyiapkan bahan kempen untuk dipasang oleh Pemuda Umno, kini itu semua sudah tidak bermakna lagi.
Mungkin sesetengah dari kita bersetuju dengan kenyataan Zambry bahawa Kamilia hanya mementingkan diri dari parti, tetapi lihatlah siapa pula barisan calon wanita Umno yang diketengahkan kali ini.
Bukannya hendak memandang rendah kemampuan Azalina Othman Said di parlimen Pengerang, Noriah Kasnon di parlimen Sungai Besar serta ketua puteri Umno, Rosnah Abdul Rashid Shirlin di parlimen Papar, tetapi kesemua mereka cuma setakat menjadi timbalan menteri sahaja melainkan Azalina yang dilantik menteri semasa pentadbiran Abdullah Badawi, itu pun atas kouta puteri Umno sebelum digugurkan apabila mencecah usia 40 tahun.
Saya melihat Shahrizat dari sisi lain kesan daripada pemecatan automatik Kamilia kerana umum sudah mengetahui persengketaan lama antara dua pemimpin tertinggi Umno dan BN itu semasa isu skandal lembu RM250 juta yang membabitkan keluarga Shahrizat.
Ketika itu, Kamilia dilihat terlalu vokal menghentam Shahrizat hinggakan kedua-dua mereka terpaksa ditenangkan seketika takut-takut persiapan pilihanraya umum terjejas hingga boleh menyebabkan kekalahan BN.
Dan kali ini giliran Kamilia pula ditempelak Shahrizat dengan mengatakan keputusannya hanya bernafsu peribadi bagi mengejar impiannya mencabar Shahrizat sebagai ketua wanita Umno dalam pemilihan agung parti itu yang sudah tertangguh lebih tiga tahun.
Kata orang, pulang paku buah keras.
Dipercayai ada campur tangan supaya Kamilia hanya diletakkan sebagai calon DUN seperti mana yang dilakukan ke atas ketua penerangan wanita Umno, Hamidah Osman yang bertanding di DUN Sungai Rapat.
Kamilia mungkin sudah mengetahui had dan sekatan yang ada sekiranya hanya menang di kerusi DUN kerana setakat cuma dilantik sebagai Exco kerajaan negeri pun belum tentu dia terpilih kerana perlu pula bersaing dengan Hamidah untuk melengkapkan kouta wanita Umno dalam kerajaan negeri.
Hamidah diletak sebagai Exco dalam pentadbiran kerajaan HARAM Zambry tetapi dikhabar mempunyai masalah dengan Umno bahagian Gopeng hingga surat rayuan turut dihantar kepada Zambry jam 12 tengah malam beberapa hari sebelum BN mengumumkan calonnya.
Itulah sebabnya dia terus mara mempertahankan haknya bertanding di kerusi parlimen kerana merasakan peluangnya untuk mencabar Shahrizat sebagai bosnya seterusnya menjawat jawatan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat terbuka luas.
Rata-rata pengundi di Kuala Kangsar akan mengundi Kamilia berbanding dengan pencabarnya, Khalil Idham sekiranya pertandingan dua penjuru diadakan kerana Khalil sendiri pun mempunyai masalah dengan pengundinya di DUN Titi Serong.
Tetapi itu tidak berlaku dan Umno sendiri memilih jalan berliku menghadapi tentangan Kamilia dan Khalil untuk mempertahankan kerusi yang menjadi kubu kuat Umno selama ini tetapi hampir roboh ekoran Rafidah cuma menang lebih 1,400 undi dalam pilihanraya umum lalu.
Kamilia melihat kepupusan calon wanita Umno semakin serius selepas pengumuman Shahrizat tidak bertanding dan sebab itulah dia diberi 'restu' untuk berkempen di Kuala Kangsar bagi meneruskan warisan Rafidah di bandar diraja Perak itu seberapa lama yang boleh.
Sudah menjadi rahsia umum bagaimana Rafidah dimalukan Shahrizat semasa pemilihan wanita Umno dan dendam lama Shahrizat terhadap Rafidah kini terpaksa dipikul pula oleh Kamilia yang pada jam 10.45 pagi semalam sudah pun mengumumkan keluar dari Umno berkuat kuasa serta-merta.
Pembunuhan karekter Kamilia oleh pemimpin Umno sendiri lebih dahsyat berbanding dengan penarikan diri calon Umno bagi parlimen Pasir Mas, Che Johan Che Pa yang seakan didiamkan walaupun kesannya lebih dahsyat dari tindakan Kamilia.
Muhyiddin tidak perlu bersusah payah mengarahkan pejabat agung Umno mengeluarkan surat pemecatan Kamilia kerana jika dihantar sekalipun ia pasti akan dilayan sebagai sampah berdaftar sebagaimana yang dilakukan ke atas batang tubuh dan prinsip perjuangannya selama ini.
Jika Anwar Ibrahim yang pernah menjawat pemimpin kedua dalam Umno boleh dimalukan semahu-mahunya, apalah sangat dengan orang nombor dua dalam pergerakan wanita!
Inilah budaya 'pembunuhan' sebenarnya dalam Umno kerana tidak ada siapa yang akan dipancung jika terus mencium tangan presidennya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan