PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Isnin, 15 April 2013

Calon: Sabotaj dalaman BN sudah bermula

KUALA LUMPUR: Pertelingkahan dalaman BN seperti dijangka, mula meletup selepas orang pilihan akar umbi parti itu sah tidak dipilih oleh Datuk Seri Najib sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kali ini.

MCA Wangsa Maju bersama kira-kira 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wangsa Maju antara yang mula menunjukkan bantahan apabila memutuskan memboikot BN sepanjang kempen PRU13 berikutan Datuk Yew Teong Look tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Perkara tersebut disuarakan selepas mesyuarat tergempar bersama MCA dan wakil-wakil NGO Wangsa Maju setelah mengetahui Teong Look tidak dicalonkan, semalam, lapor Sinar Harian.

Ketua Bilik Gerakan Pilihan Raya MCA, Lim Choong Hong dipetik berkata, 120 NGO seluruh Wangsa Maju telah sepakat bersama MCA akan memboikot pilihan raya kali ini.

Menurutnya, suara rakyat di akar umbi di Wangsa Maju langsung tidak didengar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak setelah NGO menghantar memorandum kepada Najib supaya Teong Look dicalonkan.

“Malah MCA akan mengadakan bantahan bersiri kepada pucuk pimpinan MCA bagi mengutuk tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang tidak mempertahankan kerusi Wangsa Maju.

“Saya percaya undi masyarakat Cina di Wangsa Maju akan beralih kepada parti pembangkang dan BN akan kalah teruk PRU13 sebagai tanda protes kepada keputusan ini,” katanya dipetik akhbar bahasa Melayu itu.

Semalam, Harakahdaily melaporkan selain Wangsa Maju, MCA Gelang Patah, Serdang dan Kuantan juga  juga sudahpun melenting berikutan berita Umno cuba merampas kerusi mereka.

MCA bahagian Gelang Patah kelmarin mengisytiharkan berhenti kerja selepas mendapat ura-ura bahawa Pengerusi MCA Gelang Patah Jason Teoh bakal tidak dicalonkan.

Hari ini ianya sah apabila BN menamakan Pengerusi Umno Johor Datuk Abdul Ghani Othman akan bertanding di situ dan berdepan dengan penasihat DAP Lim Kit Siang.

MCA bahagian Serdang pula memberontak setelah mendapat maklumat bahawa seorang pembelot dalaman bakal dicalonkan sebagai calon parlimen Serdang.

Liew Yuen Keong, Ketua MCA Serdang yang enggan mendedahkan nama pembelot itu berkata rahsia pembelot ini memang diketahui umum di kawasannya.

Di Kuantan, Pangerusi Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob melenting apabila akhbar The Star melaporkan bahawa kerusi Kuantan akan digantikan dengan kerusi Temerloh. Akhirnya The Star terpaksa membuat permohonan maaf dan pembetulan terhadap berita tersebut.

Sebelum ini, berita perebutan kerusi Umno dilihat tertutup, namun ianya dijangka pecah selepas Pengerusi Umno Negeri dijangka mengumumkan semua senarai calon BN di negeri masing-masing hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan