PARTI ISLAM SEMALAYSIA

PARTI ISLAM SEMALAYSIA
PAS KAWASAN LENGGONG

Jumaat, 12 April 2013

Cetus huru-hara: PAS janji lindungi semua kaum

KUALA LUMPUR: Peguam Negara akan dituduh bersubahat jika enggan bertindak ke atas tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat boleh mencetus konfrontasi perkauman, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sambil mengecam tulisan Dr Mahathir yang disifatkannya mengapi-apikan perkauman, Mahfuz mendesak Peguam Negara segera mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan.

"Jika Peguam Negara enggan mengambil tindakan dan memilih untuk berdiam diri, beliau akan dianggap berkerjasama dengan Dr Mahathir jika tercetus konfrontasi kaum akibat tulisan bekas Presiden Umno itu," tegas beliau lagi.

Serentak dengan itu, Mahfuz memberi jaminan PAS akan berusaha sedaya upaya untuk melindungi dan menjaga keselamatan semua rakyat negara ini jika pihak tidak bertanggungjawab mencetuskan konfrontasi kaum.

"PAS bukan sahaja sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk menghalang percubaan mencetuskan huru-hara akibat sentimen perkauman yang diapi-apikan oleh Umno seperti yang terbukti dalam tulisan Dr Mahathir di dalam blognya yang bertajuk 'Gelang Patah'.

"Malah, kita memberikan komitmen untuk melindungi dan menjaga keselamatan semua rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina atau India jika berlaku konfrontasi kaum seperti yang cuba diilhamkan oleh Dr Mahathir di dalam blognya itu," tegas beliau.

Mahfuz menyifatkan tulisan Dr Mahathir itu sebagai satu lagi bukti bahawa beliau berada dalam ketakutan untuk menghadapi kemarahan rakyat terhadap Umno Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei ini.

"Bukan rahsia lagi Dr Mahathir sangat takut menghadapi pilihan raya kali ini malah beliau pernah dilaporkan berkata bahawa beliau lebih bimbangkan keselamatan anak cucunya berbanding keselamatan dirinya sendiri jika Pakatan Rakyat (PR) menang.

"Tulisannya itu jelas merupakan usaha terdesak Dr Mahathir untuk menyebarkan ketakutannya itu kepada rakyat dan mengajak rakyat berkongsi ketakutan peribadinya," kata Mahfuz.

Menulis dalam blognya, bekas Perdana Menteri berkata, "Apabila Kit Siang memutuskan untuk bertanding kerusi majoriti Cina di Gelang Patah, ia adalah disebabkan beliau mahu orang-orang Cina di situ dan di Johor menolak untuk berkerjasama dan berkongsi dengan orang-orang Melayu.

"Konfrontasi kaum yang tidak sihat akan menggantikan kerjasama Cina-Melayu yang menyebabkan Malaysia stabil dan makmur. Kerjasama itu akan berakhir jika Kit Siang menang di Gelang Patah".

Mahfuz seterusnya mengingatkan Dr Mahathir, hanya orang salah sahaja yang takut kepada perubahan.

"JIka kita tak buat salah apa-apa, kita tidak takut berlaku perubahan kerajaan yang berlaku melalui sistem demokrasi dan mengikut lunas undang-undang.

"Jika berlaku perubahan kerajaan sekalipun, perlembagaan tetap sama, sistem perundangan tetap sama, bukan senang hendak menganiayai sesiapa pun jika tidak bersalah.

"Apa yang bekas Presiden Umno itu takut sangat jika beliau tidak bersalah dan jika perniagaan anak-anaknya dibuat dengan cara yang sah di sisi undang-undang?" beliau mempersoalkan.

Diminta mengulas lanjut mengenai jaminan untuk memberi perlindungan jika berlaku huru hara, Mahfuz berkata, PAS tidak bercakap kosong malah telah dibuktikan dengan tindakan kerajaan PAS di Kelantan ketika berlakunya rusuhan 13 Mei 1969 lalu.

"Sebaik sahaja tercetus percubaan untuk merebakkan rusuhan di Kuala Lumpur ke Kelantan, Menteri Besar Kelantan ketika itu, Tan Sri Asri Muda terus mengumpulkan pemimpin-pemimpin masyarakat berkumpul di kediaman Menteri Besar Kelantan di JKR 10.

"Beliau memberi amaran, jika berlaku kejadian menganiaya kaum Cina di mana-mana tempat di Kelantan, beliau akan pegang penghulu tempat berkenaan," kata beliau.

Malah, kata Mahfuz, Asri turut memberi jaminan kepada wakil masyarakat Cina yang turut datang ke perhimpunan itu, Chua Say Paw bahawa tidak ada apa-apa yang akan berlaku ke atas kaum Cina di Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan