Oleh Mohd Syamil Azhar.
LENGGONG: Penyertaan lebih 3000 pengundi terdiri daripada pelbagai kaum,
termasuk Orang Asli untuk sama-sama berarak mengiringi tiga calon Pakatan
Rakyat (PR) ke pusat penamaan calon 20 April lalu, membuktikan sokongan
rakyat terhadap kerja sama pembangkang di sini semakin kukuh.
Ketua Lajnah Demokrasi dan Mobilisasi (LDM) PAS Lenggong, Abu Bakar
Saleh, berkata penyertaan ribuan pengundi terdiri daripada masyarakat
melayu, Cina, India dan Orang Asli pada hari penamaan calon itu, ternyata
melebihi sekali ganda berbanding penyertaan mengiringi calon-calon Barisan
Nasional.
Katanya, walaupun DAP tidak bertanding di Lenggong, tetapi penyertaan
masyarakat Cina sangat menggalakkan berbanding pada siri pilihan raya lalu,
malah tidak disangka-sangka masyarakat Orang Asli juga tidak ketinggalan
untuk turut serta.
"Melihatkan sambutan penyertaannya seramai itu, khususnya daripada
masyarakat bukan Islam, membuktikan PR, khususnya PAS tidak lagi ditakuti
oleh bukan Islam.
"Justru saya yakin pilihan raya kali ini, di Lenggong khususnya akan
memihak kepada PR, terutama kerusi Parlimen yang ditandingi PAS," katanya.
Abu Bakar berkata, kehadiran anak muda dan kaum wanita juga sangat
menggalakkan dan ini sekali gus menunjukkan keyakinan mereka terhadap PR
semakin kukuh dan dalam masa sama mereka menolak parti yang mengamalkan
budaya fitnah dan budaya video lucah.
Sementara itu, katanya ketiga-tiga calon PR, diketuai Timbalan
Pesuruhjaya PAS Perak yang juga Yang diPertua PAS Lenggong, Razman Zakaria,
Mohd Tarmizi Abdul Hamid dan Zahrul Nizam Abdul Majid bersama kira-kira
1000 penyokong bersolat hajat di Masjid Jamek Lenggong seawal jam 8 pagi
sebelum memulakan perarakan ke pusat penamaan calon.
Katanya, Razman akan bertanding merebut kerusi Parlimen Lenggong
(P.055) yang sebelum ini disandang Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Mohd
Tarmizi akan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kenering (N.03)
menentang penyandangnya, Mohd Termizi Idris, manakala Zahrul Nizam akan
berdepan Datuk Saarani Mohamad, penyandang kerusi DUN (N.04) Kota Tampan.
Shamsul Anuar, Saarani dan Mohd Termizi, ketika-tiganya daripada BN,
katanya.
Perarakan melalui tengah-tengah bandar Lenggong sejauh kira-kira satu
kilometer ke pusat penamaan calon turut disaksikan beratus-ratus penduduk,
terutama masyarakat Cina dan masyarakat Melayu yang datang ke Pasar Hari
Sabtu, memberikan satu kelebihan lagi kepada calon-calon PR. katanya.
"Kesemua calon telah menghantar borang-borang pencalonan seawal jam 9
pagi dan setelah proses penamaan selesai Pegawai SPR membuat pengumuman
rasmi kira-kira jam 12 tengahari," katanya.
Tamat.
2 lampiran — Imbas dan muat turun semua lampiran Lihat semua imej | |||
| |||
Tiada ulasan:
Catat Ulasan